My Add

Tuesday 20 November 2012

Ingatan kepada pembekal vaksin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 November, 2012: Semua syarikat pembekal vaksin berdepan tindakan pembatalan pendaftaran produk sekiranya vaksin yang diberikan didapati mempunyai kesan sampingan serius sehingga menjejaskan kesihatan orang ramai.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, tindakan itu termasuk penggantungan pendaftaran produk dan proses memanggil balik produk menerusi tindakan regulatori.

''Namun, semenjak lima tahun lalu, hanya terdapat satu kes kecederaan akibat vaksinasi dilaporkan dan bagi kes itu pegawai yang terlibat telah dikenakan tindakan dan dihantar semula untuk latihan teknik pemberian vaksin.

''Daripada lebih 17 juta dos vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak pada 2010 dan 2011, hanya 14 kes membabitkan kesan sampingan disahkan berpunca daripada vaksin," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Salleh Kalbi (BN-Silam) yang meminta kerajaan menyatakan jenis tindakan sekiranya vaksin yang diberikan kepada pesakit boleh mengakibatkan kesan kecederaan.

Rosnah berkata, pemantauan terhadap kesan vaksin ini dilakukan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang kemudiannya akan menjalankan siasatan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Beliau berkata, kementerian juga mempunyai prosedur bagi membayar pampasan kepada pesakit jika terjejas akibat vaksin, justeru tidak bercadang untuk mewujudkan skim khas untuk tujuan itu.

Mengulas lanjut, beliau turut menyangkal dakwaan yang mengatakan vaksin boleh menyebabkan penyakit autisme kerana pakar seluruh dunia belum dapat mengenalpasti punca penyakit berkenaan.

''Terdapat contoh di Eropah, ekoran wujud kajian yang mengaitkan vaksin demam campak dan rubela dengan autisme, maka berlaku penurunan dalam liputan vaksinasi sehingga menyebabkan berlakunya wabak di Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada dalam kalangan kumpulan yang tidak di vaksinasi," katanya.

Di Malaysia, katanya, kementerian sentiasa meningkatkan pengesanan awal autisme dalam kalangan kanak-kanak menerusi program saringan dan senarai semak melalui buku rekod kesihatan kanak-kanak sejak kelahiran hingga berusia enam tahun.

Selain itu, katanya, kementerian telah melatih sebanyak 3,944 pegawai kesihatan dan menempatkan 54 jurupulih cara kerja di klinik kesihatan seluruh negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment