My Add

Thursday 8 November 2012

Jangan terlalu kebaratan - Dr. Mahathir

*ALIASAbdullah (kanan) memakaikan kalung Anugerah Penaung Pertubuhan Perancangan Malaysia kepada Dr. Mahathir Mohamad sambil diperhatikan Chor 
Chee Heung di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, semalam.

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin umat Islam di negara ini mengetahui bahawa mereka tidak boleh menukar agama sesuka hati.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang Melayu supaya tidak terlalu kebaratan terutama membabitkan soal agama Islam.

"Kita sebagai orang Islam tidak tukar agama bukan seperti agama lain yang bebas pegangan agamanya," katanya dalam sidang akbar selepas menerima Anugerah Penaung Pertubuhan Perancangan Malaysia sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bahawa rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.

Penganugerahan itu diterima atas sumbangan beliau dalam perancangan dan pembangunan di peringkat antarabangsa termasuk pemikiran serta kredibiliti dalam memacu Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020, Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran dan pembangunan Cyberjaya sebagai Koridor Raya Multimedia.

Yang turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung dan Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah.

Mengulas lanjut kata Dr. Mahathir, umat Islam di negara ini tidak boleh terbawa-bawa pemikiran barat, bebas melakukan apa sahaja, termasuk mengeluarkan filem menghina agama Islam dan berkahwin dengan sesama jenis.

"Saya tertarik apabila tiga pemimpin agama di Amerika Syarikat menyatakan taufan Sandy yang melanda pantai timur negara itu disebabkan balasan Tuhan terhadap kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Jelas mereka juga tidak setuju dengan amalan berkenaan dan kalau kita biarkan perkara ini berlaku, institusi keluarga akan hancur," tambah beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment