My Add

Friday 9 November 2012

Jangan wujudkan gimik politik - Ahmad Zahid

SETIU, KHAMIS, 08 November, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pakatan pembangkang supaya lebih realistik dan tidak bersandarkan gimik politik semata-mata untuk memancing undi rakyat.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu mereka menerima hakikat bahawa sistem politik di Malaysia berbeza berbanding negara lain.

"Kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentu lebih selesa bertanding di Parlimen Pekan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh.

"Jadi, tak perlu wujudkan gimik politik. Tak munasabah jika cabaran itu dibuat. Ia sebenarnya hanya satu perangkap politik," katanya ketika ditemui semasa program Sambutan Kembara 1Malaysia di Kolej Universiti Bestari (KUB) di sini hari ini.

Beliau mengulas cabaran Anwar terhadap Najib yang mahu pemimpin nombor satu negara itu bertanding di Parlimen Marang pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum itu, Abdul Hadi turut menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Parlimen Pekan iaitu kawasan yang kini disandang oleh Perdana Menteri.

Jelas Ahmad Zahid, cabaran yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu sebenarnya bertujuan mengalihkan perhatian umum terhadap isu yang dihadapi oleh anaknya, Nurul Izzah.

Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan langkah mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lebih awal mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Menurut beliau, pengumuman awal itu hanya sesuai dilakukan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai 'masalah dalaman' sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan tersebut pastinya tidak boleh diguna pakai di kawasan-kawasan 'panas' termasuk yang diyakini mempunyai calon boleh menang.

"Sebab itu, saya rasa pengumuman calon lebih awal ada pro dan kontranya. Bagi kawasan yang tiada masalah mungkin sesuai diumumkan lebih awal dan begitulah sebaliknya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment