My Add

Sunday 18 November 2012

Kampung nelayan Tg. Dawai mula dibina 2013

SUNGAI PETANI, AHAD, 18 November, 2012: Kerajaan Pusat akan membina sebuah perkampungan nelayan di Tanjung Dawai yang akan dilengkapi infrastrukur termasuk perumahan membabitkan kos RM45 juta bagi kemudahan golongan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Hashim Abdullah projek itu akan dilaksanakan atas tapak seluas kira-kira 10 hektar dan majlis pecah tanah projek itu dijadualkan pada Februari tahun depan.

"Projek ini mengandungi 300 unit rumah, pelbagai kemudahan antaranya surau, dewan orang ramai, tadika, gelanggang futsal dan unit-unit kedai serta bengkel bagi menempatkan 300 keluarga nelayan.

"Sekarang mereka tinggal di rumah yang dibina atas tanah milik orang lain yang menyukarkan kerajaan memberi bantuan membaik pulih rumah kerana perlu mendapat kebenaran tuan tanah,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek itu hari ini.

Katanya, apabila siap kelak, perkampungan nelayan itu dapat meningkatkan aktiviti ekonomi sampingan nelayan dengan mengusahakan projek hiliran seperti keropok dan ikan kering selain membolehkan mereka menjual hasil tangkapan secara terus.

Beliau berkata, menyedari potensi Tanjung Dawai menjadi pusat agro-pelancongan moden, kerajaan bercadang membina jeti baharu di perkampungan itu yang akan memudahkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan mereka. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment