My Add

Tuesday 27 November 2012

Kedah dibidas tidak guna peruntukan menaik taraf jalan

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 201: Peruntukan yang disalurkan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri perlu diguna untuk projek kesejahteraan rakyat dan bukan untuk kepentingan sendiri, kata seorang wakil kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek memberikan contoh di Kedah apabila kerajaan negeri didakwa tidak menghabiskan peruntukan untuk projek menaik-taraf jalan, sebaliknya 'disimpan ke tabung mereka'.

"Sebenarnya, sudah jadi isu di Kedah. Kita sudah beri peruntukan tetapi ia tidak habis digunakan untuk projek menaik-taraf jalan tetapi masuk ke tabung.

"Inilah cara pembangkang memerintah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Muttalib (BN-Maran) yang ingin tahu mengenai punca banyak jalan di Kedah tidak diselenggara dengan baik.

Bagaimanapun, jawapan Hassan itu tidak disambut dengan baik oleh kalangan ahli parlimen pembangkang terutamanya Ahli Parlimen Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) yang mahu kementerian mengemukakan bukti dan berdebat bagi menyelesaikan perkara itu di luar.

Hassan bagaimanapun meneruskan jawapannya dengan berkata, kejayaan sesuatu projek termasuk menaik taraf jalan perhubungan desa bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk pegawai daerah dan kerajaan negeri.

"Kerajaan persekutuan sentiasa prihatin tidak kira di mana rakyat berada, demi kesejahteraan mereka, peruntukan sentiasa diberi (bagi tujuan itu)," katanya.
Menjawab soalan asal Ahli Parlimen Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berhubung langkah untuk menaik taraf jalan kampung yang rosak dan sempit, Hassan berkata, ia dilakukan melalui penambahbaikan dari segi spesifikasi jalan perhubungan desa (JPD).

"JPD ini berdasarkan kesesuaian lokasi dengan mengambil kira kelebaran bahu jalan, rezab jalan dan kegunaan jalan dengan kelebaran turapan diperluas antara dua meter (lapan kaki) hingga empat meter (14 kaki) bagi membolehkan kenderaan berselisih.

"Spesifikasi JPD ini mengikut keperluan dan bergantung kepada rezab jalan dengan syarat mendapat kebenaran daripada tuan tanah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment