My Add

Saturday 17 November 2012

Kejadian di Bukit Bendera beri imej buruk pelancongan

PULAU PINANG, JUMAAT, 16 November, 2012: Kerajaan DAP Pulau Pinang diselar kerana gagal menyelenggara perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dengan baik sehingga menyebabkan ribuan pengunjung terperangkap di puncak bukit tersebut lebih tiga jam malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Sasar Pelancongan Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Bumiputera Jabatan Perdana Menteri (ICU), Datuk Jahara Hamid berkata, beliau kesal kejadian seumpama itu masih berlaku kerana kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan besar bagi menaik taraf perkhidmatannya.

Menurut beliau, kemudahan canggih di kawasan itu sepatutnya mampu menarik lebih ramai pelancong tetapi keadaan berlaku sebaliknya.

"Anak syarikat kerajaan negeri, Penang Hill Corporation (PHC) yang menguruskan perkhidmatan kereta api Bukit Bendera perlu memberi tumpuan serius terhadap aspek penyelenggaraan.

"Kalau tidak diurus dengan baik, inilah yang berlaku. Sepatutnya pelancongan di situ lebih produktif kerana ada kemudahan canggih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian kira-kira 1,000 pengunjung pusat peranginan Bukit Bendera terkandas kira-kira tiga jam malam tadi berikutan pintu kereta api tidak boleh dibuka.

Perjalanan turun yang biasanya memakan masa lima minit bertukar menjadi setengah jam akibat masalah teknikal itu.

Sebelum ini, bangunan tempat letak kereta bernilai RM5 juta bersebelahan stesen kereta api itu yang dibina sebuah lagi anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) terpaksa dirobohkan.

Projek berkenaan gagal memperoleh sijil layak menduduki (CF) dan mencetuskan kontroversi kerana rekaannya yang sempit seperti laluan yang hanya mampu memuatkan kereta kompak seperti Perodua Kancil.

Pembinaannya merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM73 juta untuk menaik taraf kereta api Bukit Bendera di bawah Kementerian Pelancongan.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar memberitahu, kejadian seumpama itu sudah semestinya memberi imej buruk kepada sektor pelancongan di negeri ini.

"Saya harap inilah kejadian pertama dan terakhir berlaku.

"Tolong beri perhatian terhadap aspek penyelenggaraan untuk semua produk pelancongan demi menjaga imej negara ini," ujarnya.

Sementara itu, PHC dalam kenyataannya memaklumkan, operasi perkhidmatan kereta api Bukit Bendera dihentikan mulai hari ini untuk kerja-kerja penyelenggaraan sehingga diberitahu kelak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment