My Add

Tuesday 6 November 2012

Kenaikan gaji penjawat awam bergantung perakuan Suruhanjaya Khas

LANGKAWI, SELASA, 06 November, 2012: Kajian terhadap kenaikan gaji penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum akan hanya dijalankan sekiranya Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam selesai Disember ini, tetapi tidak membuat sebarang cadangan mengenainya.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, Suruhanjaya Khas itu sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan hasilnya akan dibentang Disember ini.

"Kita lihat apa idea baru Suruhanjaya itu. Jika tiada pembaharuan, kita akan mulakan kajian (kenaikan gaji) mulai Disember ini juga," katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai perkembangan terhadap kajian gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga maksimum.

Beliau baru-baru ini mengumumkan kajian itu tertumpu kepada penjawat awam yang sudah mencapai had gaji maksimum, daripada dua hingga lima peratus dan akan diberi kepada mereka yang memperoleh markah penilaian dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 80 peratus.

Ali ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan kali ke-29 di sini, semalam.

Beliau berkata, kajian itu juga untuk mengetahui jumlah kakitangan awam yang terbabit serta implikasi kewangan kepada kerajaan selain memberi keadilan kepada mereka yang tidak diberi anjakan gaji atau kenaikan pangkat selepas mencapai gaji maksimum.

Katanya, antara cadangan yang boleh dikemukakan dalam kajian berkenaan ialah golongan terbabit diberi kenaikan pangkat atau kenaikan gaji biasa.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment