My Add

Tuesday 6 November 2012

'Kenyataan membingungkan'

KUALA LUMPUR ISNIN, 05 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa DAP merupakan parti yang memperjuangkan semua kaum.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, apa yang jelas, DAP adalah parti bersifat perkauman dan tidak memperjuangkan semua kaum.

Oleh yang demikian katanya, kenyataan Hadi seakan merestui penyertaan orang Melayu dalam DAP itu dilihat agak membingungkan.

''Kalau semua orang Melayu masuk DAP, Pas dah tiada ahli lagilah. Itu (kenyataan Abdul Hadi) membingungkan saya. Semua tahu khususnya orang Melayu, DAP bukan parti yang memperjuangkan semua kaum. Dia (DAP) terlalu rasis (bersifat perkauman). Dia kata parti yang demokratik tetapi tak demokratik. Siapa yang pegang tampuk parti itu, kita tahu.

''Parti seperti DAP tak bertanding di kawasan Melayu. Dia bertanding pilih kawasan-kawasan bukan Melayu seperti di kawasan bandar sahaja. Kalau ada orang Melayu di situ, DAP tak bertanding untuk jaga kepentingan Melayu. (Perkara ini) jelas, bukan perkara baharu. Jadi anehlah. Hadi (Abdul Hadi) nyatakan itu, saya agak bingung bagaimana beliau boleh buat kenyataan seperti itu,'' katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Forum Inovasi Dunia-Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL 2012) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Yang turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi yang seperti merestui penyertaan orang Melayu dalam DAP dengan menganggap parti itu berbeza dari MCA dan MIC kerana disifatkan perkauman.

Dalam pada itu Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, BN dan semua pihak sedia maklum akan masalah dalaman DAP serta Pas dan perhubungan antara kedua-dua parti itu tidak pernah kukuh.

''Oleh itu kalau Presiden Pas buat kenyataan seperti itu (merestui penyertaan orang Melayu dalam DAP), tak tahulah sama ada beliau perli atau apa, saya kurang pasti,'' ujarnya.

Ditanya mengenai sikap kerajaan DAP Pulau Pinang yang terus menerus menghalang beberapa media khususnya Utusan Malaysia membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau memberitahu, perkara itu jelas membuktikan tindakan pembangkang terutama DAP yang 'cakap tak serupa bikin'.

Katanya, tindakan tersebut juga bertentangan dengan prinsip pembangkang yang kononnya memperjuangkan ketelusan, kebebasan bersuara serta kebebasan media.

''Kita dah tahu memang dia (pembangkang) cakap tak serupa bikin. Kita dengar prinsip perjuangannya menjunjung ketelusan, ada CAT (cekap, akauntabiliti, telus) dan macam-macam. Kononnya itu asas perjuangan tetapi dari segi amalan sebenar tak begitu.

''Jadi kalau ada sesuatu yang dilihat tak memberi keuntungan atau ada pihak-pihak kritik parti itu atas sebab-sebab tertentu yang munasabah, mereka tak sedia terima. Inilah kita harus faham bahawa parti seperti itu boleh berkata sesuatu tetapi tak amalkan apa yang dia sebutkan,'' jelasnya.

Menjawab soalan berhubung kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu bertanding di Parlimen Pekan, katanya, kenyataan itu belum diketahui kebenarannya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment