My Add

Thursday 8 November 2012

Kenyataan Nurul Izzah tidak wajar - TPM

TV3 siar klip video

KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berhubung kebebasan beragama di negara ini khususnya melibatkan orang Melayu.

Sambil berkongsi penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta tokoh dan pakar agama terhadap kenyataan pemimpin PKR itu, tegas Timbalan Perdana Menteri, hal ini demikian kerana kenyataan itu dibimbangi bercanggah dengan amalan atau perkara-perkara yang berkaitan akidah.

''Sudah banyak orang buat kenyataan (ulasan berhubung kenyataan Nurul Izzah). Saya berkongsi (pandangan) dengan tokoh-tokoh agama yang pakar dan mahir dalam soal itu (agama) serta rasa kecewa Sultan Selangor atas kenyataan yang dibuat.

''Kita harap beliau (Nurul Izzah) sedar ini satu kenyataan yang tak patut dibuat. Yang paling kita bimbang kenyataan itu bercanggah dengan amalan dan perkara-perkara yang berkaitan akidah. Apa lagi dikeluarkan oleh seorang Islam,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu melibatkan Kementerian Pengajian Tinggi, Sime Darby Property Selatan Sdn. Bhd., Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pengerusi Sime Darby Bhd., Tun Musa Hitam dan Pengerusi Sime Darby Property Bhd., Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ahad lalu, Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang Malaysiakini berkata: ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.''

Nurul Izzah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam : Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya Sabtu lalu.

Bagaimanapun semalam, Nurul Izzah berkata akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan media alternatif lain kerana mendakwa kenyataannya mengenai kebebasan beragama telah diputar belit.

Dalam pada itu, Muhyiddin ketika ditanya mengenai tindakan Nurul Izzah yang mahu menyaman Utusan Malaysia berkata:

''Dia (Nurul Izzah) biasa begitulah bila surat khabar dah keluar kenyataan. Lagipun Utusan (Utusan Malaysia) petik daripada portal. Yang itu (portal) dia tak nak saman, Utusan dia nak saman.

''Jadi biasa taktik itulah nak tunjuk konon dia tak salah, surat khabar yang putar belit. Tapi fakta itu (kenyataan Nurul Izzah) ada, boleh kita browse through (layari) tengok apa yang berlaku dalam kenyataan media sosial itu,''

Sambil itu Buletin Utama TV3 malam ini menyiarkan klip video kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang menyatakan orang Melayu bebas memilih agama mereka.

Dalam klip video berkenaan, Nurul Izzah dipetik antara lain berkata, ‘‘Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.’’

Nurul Izzah berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya Sabtu lalu.

Kenyataan Nurul Izzah itu dilaporkan oleh portal propembangkang Malaysiakini sebelum dipetik oleh media-media lain termasuk Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment