My Add

Tuesday 6 November 2012

Kerajaan, agensi sedia hadapi banjir


KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 November, 2012: Kerajaan termasuk beberapa agensi serta badan sukarela telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi banjir termasuk penyimpanan stok bahan makanan kepada mangsa bencana itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai kementerian khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga sentiasa memantau perkembangan banjir bagi membolehkan kerajaan membuat tindakan susulan.

Kita sudah membuat persiapan untuk menghadapi segala kemungkinan sama ada banjir tahun ini lebih daripada tahun lalu atau sebaliknya. Semua agensi bertanggungjawab termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan badan-badan sukarela sudah bersedia,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama Forum Inovasi Dunia-Kuala Lumpur 2012 (WIF-KL 2012) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Berhubung perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beliau memberitahu, Kementerian Pelajaran telah menyediakan pelan kontingensi supaya pelajar-pelajar yang terlibat dalam banjir dapat meneruskan peperiksaan.

Sementara itu An gkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk diatur gerak ke mana-mana kawasan sama ada dari segi tenaga, aset dan kemampuan bagi membantu mangsa banjir sekiranya diperlukan.

Walau bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, sehingga kini pihaknya masih belum dipanggil untuk membantu kawasan-kawasan yang telah dilanda banjir seperti di Johor.

"Kita akan libatkan anggota dan pegawai mengikut jumlah di satu-satu tempat yang dilanda banjir dan ATM bersedia sedia untuk digerakkan ke kawasan dilanda banjir.

"ATM mempunyai aset khas seperti lori tujuh tan yang boleh mengharungi banjir bagi kerja-kerja penyelamat dan pemindahan mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tentang kesiapsiagaan ATM bagi menghadapi situasi banjir di Johor kerana sehingga 3 petang ini, seramai 1,284 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) berusaha menyelaras pengurangan risiko banjir dengan agensi-agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Pejabat Daerah.

"Baru-baru ini, saya mewakili Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz ke Persidangan Asia Pasifik, Pengendalian Pengurangan Risiko Bencana Alam di Jogjakarta.

"Antara yang diputuskan pada persidangan itu adalah sistem koordinasi pasukan penyelamat yang efisien dari segi pelaksanaan penyediaan perubatan serta makanan untuk mengelak daripada penyakit sebelum dan selepas bencana," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati mangsa banjir agar mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk operasi pemindahan ke pusat penempatan banjir agar dapat mengelakkan daripada kejadian tidak diingini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment