My Add

Tuesday 27 November 2012

Kerajaan digesa beri amaran keras

PULAU PINANG, ISNIN, 26 November, 2012: Kerajaan digesa memberi amaran keras terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya tidak melemparkan pelbagai tuduhan yang boleh membakar api perkauman.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, langkah itu perlu bagi memastikan keharmonian dan keamanan yang dikecapi rakyat negara ini dapat dikekalkan.

Malah, tegasnya, teguran itu juga wajar kerana kerajaan selama ini telah banyak bertolak ansur dalam menjaga kepentingan semua kaum dan agama di negara ini.

"Kerajaan jangan berganjak dengan tuntutan dan tuduhan tidak bertanggungjawab Dong Zong ini dan harus mengambil tindakan tegas kerana provokasi mereka hanya akan mewujudkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Selama ini kerajaan telah banyak berkorban dan bertolak ansur dengan mereka, jadi kita mendesak Dong Zong menghormati dan menghargai perpaduan serta keharmonian yang dinikmati rakyat ketika ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menempelak Dong Zong kerana menuduh segala pembaharuan pendidikan yang dilakukan kerajaan termasuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 meminggirkan sekolah vernakular termasuk sekolah Cina.

Menurut Mohd. Yussof, pihaknya menyokong ketegasan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memandangkan kerajaan sememangnya tidak pernah meminggirkan sekolah-sekolah Cina.

Sehubungan itu, kata beliau, Dong Zong perlu meneliti sejarah pendidikan di negara ini dan berhenti melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan terutamanya membabitkan soal pendidikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment