My Add

Tuesday 6 November 2012

Kerajaan hulur bantuan mangsa banjir

VIENTIANE, SELASA, 06 NOVEMBER, 2012: Kerajaan sudah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor, Perak, Selangor dan Melaka, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Perdana menteri berkata, kerajaan sudah bersiap sedia untuk menghadapi masalah banjir ini dan semua pelan kontigensi sudah diatur.

Bantuan segera kerajaan biasanya meliputi proses pemindahan hingga kepada keperluan tempat perlidungan, makanan dan penjagaan kesihatan.

Bercakap kepada media Malaysia selepas menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak dua hari Asia-Eropah (ASEM ke-9) di sini, beliau berkata secara umumnya adalah sukar untuk meramalkan bencana alam kini kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa.

Beliau diminta mengulas perkembangan banjir di Malaysia yang agak serius keadaannya semalam tetapi semakin pulih hari ini.

Najib berkata, cuaca yang esktrem ada kaitannya dengan masalah perubahan iklim global.

Sebagai contoh, katanya, Amerika Syarikat mengalami taufan Sandy baru-baru ini dan Thailand berdepan dengan banjir serius tahun lalu.

Najib pulang ke tanah air hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-9 di sini.

Perdana Menteri bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay di sini pada 2.45 petang (Waktu Malaysia: 3.45 petang).

Selain menghadiri sidang kemuncak dua hari itu yang berakhir hari ini, Najib juga merasmikan cawangan pertama Maybank semalam, menyempurnakan kehadiran bank Malaysia di semua 10 negara Asean.

Beliau dan rakan sejawatannya dari Laos Thongsing Thammavong menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Konsesi Induk antara kerajaan Laos dengan sebuah syarikat pembinaan Malaysia, Giant Consolidated Ltd, di sini semalam.

Di bawah perjanjian itu, syarikat Malaysia itu akan membina Landasan Keretapi Standard Gauge Trek Berkembar menggunakan Elektrik bernilai US$5 bilion (kira-kira RM15 bilion) dari Savannakhet ke Lao Bao, meliputi trek sepanjang 220km dari timur ke barat Laos. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment