My Add

Saturday 17 November 2012

Kerajaan sokong badan bantu golongan muda bermasalah: Muhyiddin

BRISBANE, SABTU, 17 November, 2012: Kerajaan akan memberi sokongan kuat kepada badan persendirian dan pihak swasta yang berminat membantu golongan muda bermasalah yang tercicir daripada sistem persekolahan untuk kembali belajar atau mendapatkan pekerjaan.

Tertarik dengan pendekatan 'BoysTown' yang melibatkan perkongsian pintar swasta-awam untuk membantu golongan muda bermasalah di Australia, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha untuk membantu golongan itu tidak semestinya terletak di bahu kerajaan saja.

Beliau berkata program seumpama 'BoysTown' itu sesuai dilaksana di Malaysia oleh pihak-pihak yang berminat membantu masyarakat dan melakukannya dengan kesedaran bahawa komuniti juga perlu dibantu.

"Kita membawa kumpulan sebegini masuk ke dalam sistem seperti 'BoysTown', beri mereka semangat, bagi dorongan, kembalikan minat belajar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas mendengar taklimat mengenai program 'BoysTown' itu di sini hari ini.

'BoysTown' adalan sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang memberi perkhidmatan dan menjalankan program untuk golongan muda bermasalah dan tercicir bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan penglibatan positif dalam masyarakat.

Kira-kira 80 peratus program 'BoysTown', yang dijayakan melalui peruntukan kerajaan dan penajaan swasta, di Australia itu berjaya menangani masalah golongan muda bermasalah antaranya kembali berminat untuk belajar atau mendapat pekerjaan.

Pada 2010, BoysTown yang mempunyai 550 petugas berjaya melatih 1,500 orang muda dengan 550 daripada mereka mahu kembali ke sekolah, 450 mahu mengikuti latihan kemahiran manakala selebihnya berusaha mencari perkerjaan. 

Muhyiddin berkata pihak-pihak di Malaysia yang sanggup membantu golongan muda bermasalah perlu berusaha sendiri melihat apakah isu dan masalah yang perlu diberi bantuan sewajarnya antaranya isu belia mengganggur dan belia berhenti sekolah awal.

"Ini sedikit sebanyak menolong mengurangkan masalah, ada yang dapat pekerjaan, ada yang balik semula ke sistem persekolahan, ada yang menamatkan pelajaran dan ada diberikan peluang-peluang vokasional," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memberi sokongan kepada pihak swasta yang ingin menaja program itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

"Program ini baik kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan oleh organisasi awam," katanya. 

Di Brisbane, Muhyiddin melawat projek Greater Springfield, satu daripada kawasan pertumbuhan bandar paling dinamik di Queensland yang dibangunkan oleh individu kelahiran Malaysia Maha Sinnathamby.

Timbalan Perdana Menteri diberi talimat mengenai kemajuan pembangunan projek yang merangkumi 2,860 hektar oleh Sinnathamby, yang juga pengerusi Springfield Land Corporation.

Apabila dibangunkan sepenuhnya, Greater Springfield akan mempunyai enam kediaman pinggir bandar dengan jumlah penduduk 105,000.

Jumlah pelaburan pembangunan sepenuhnya adalah lebih 23 bilion dolar Australia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment