My Add

Wednesday 7 November 2012

Kerajaan tambah dana RM500 juta untuk Program Teras

BUTTERWORTH, RABU, 07 November, 2012:: Kerajaan akan menambah dana tambahan RM500 juta untuk Program Pembiayaan Teras bagi membolehkan lebih banyak syarikat dibangunkan menerusi program berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata tambahan dana itu akan disalurkan selepas peruntukan sedia ada berjumlah RM500 juta habis diagihkan kelak.

Katanya, penambahan dana itu juga menunjukkan sambutan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera terhadap Teras sangat menggalakkan.


"Program Teras menunjukkan kejayaan yang baik dan kerajaan memang merancang untuk menambah dana sebanyak RM500 juta lagi bagi membolehkan lebih banyak syarikat Bumiputera dibangunkan menerusi program itu.

"Kerajaan akan bagi dana itu menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang dipertanggungjawabkan menguruskan program Teras terbabit selepas dana sedia ada habis," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Penajaan Akhbar dalam darjah Parlimen Tasek Gelugor, di sini, hari ini.

Nor Mohamed berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang melaporkan TERAJU meminta kerajaan menambah dana bagi program Teras berikutan sambutan menggalakkan terhadap dana itu sejak ia dilancarkan Ogos lalu.

Ketua Eksekutif TERAJU, Husni Salleh, berkata pihaknya berkemungkinan besar memohon dana tambahan itu jika peruntukan sedia ada yang berjumlah RM500 juta habis dalam tempoh terdekat.
Program Teras yang dilancarkan kerajaan bermatlamat meningkatkan penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera tempatan dalam ekonomi.

Sementara itu, Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, program penajaan akhbar itu adalah satu daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam Bahasa Inggeris.

"Ia juga adalah usaha mewujudkan sebuah komuniti yang berpengetahuan menjelang negara maju pada 2020. Kerajaan juga mahu sekurang-kurangnya rakyat Malaysia mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris dan ini adalah satu caranya (penajaan akhbar dalam darjah)," katanya.

Katanya, 31 sekolah termasuk 10 sekolah menengah dalam Parlimen Tasek Gelugor terpilih untuk menerima penajaan akhbar sepanjang tahun ini dan 2013. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment