My Add

Tuesday 27 November 2012

Kewangan Islam harus babitkan kumpulan berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Kewangan Islam harus bersifat merangkumi dan boleh dinikmati oleh semua, khususnya kumpulan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil untuk mencapai pertumbuhan ekonomi global yang lebih seimbang dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Katanya, untuk mencapai matlamat ini, institusi kewangan Islam mesti berusaha untuk meningkatkan kemudahan mendapatkan perkhidmatan kewangan masing-masing kepada semua segmen masyarakat dengan memenuhi permintaan bagi lebih banyak produk mikro kewangan Islam.

"Dengan kemunculannya sebagai satu bidang khusus pasaran baharu, mikro kewangan Islam akan dapat memenuhi permintaan berbeza-beza daripada masyarakat berpendapatan rendah dan memberikan sokongan kepada kegiatan keusahawanan," katanya pada Kolokium Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) kedua 2012.

Mikro kewangan Islam, jika disokong oleh mikro takaful, berpotensi untuk menyediakan penyelesaian perlindungan dan pembiayaan yang lebih menyeluruh, lestari dan mudah diperoleh bagi kumpulan berpendapatan rendah dan perniagaan kecil.

Zeti berkata Pelaburan Tanggungjawab Sosial (SRI) dijangka menjadi kelas aset arus perdana menjelang 2015, dengan aset yang diuruskan diunjurkan berjumlah lebih US$26 trilion, dan menguasai 15 hingga 20 peratus pasaran global.

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh permintaan daripada pelabur-pelabur institusi yang semakin memberikan keutamaan kepada pertimbangan kelestarian dan tanggungjawab sosial dalam perniagaan dan sistem nilai institusi masing-masing.

"SRI telah mengetengahkan soal perlunya sistem kewangan dikaitkan kepada ekonomi dan perlunya dipertingkatkan tahap ketelusan, keadilan, etika dan tanggungjawab sosial dalam kewangan moden," tegas beliau. 

Mengenai Portal Repositori Pengetahuan Kewangan Islam yang dilancarkannya hari ini, Zeti berkata ia boleh menyumbang ke arah memenuhi keperluan bagi penyebaran maklumat yang lebih cekap, yang akan menggalakkan peningkatan ketelusan pasaran, penemuan harga dan kefahaman tentang industri.

Sebagai sebuah pangkalan data pengetahuan, portal itu memusatkan ketetapan syariah dan justifikasinya, perundangan serta syarat-syarat kawal selia.

Ini diperkaya dengan koleksi penyelidikan dan pembangunan dalam kewangan Islam.

"Pangkalan data ini akan menjadi sumber rujukan dan panduan penting bagi pengamal syariah dan industri, pembuat dasar, penyelidik dan ahli akademik," kata Zeti, sambil menambah bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan menggalakkan kefahaman yang lebih mendalam, malah juga rasa saling hormat dan pengiktirafan terhadap kewangan Islam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment