My Add

Thursday 22 November 2012

KLWCC Palestin serah laporan dalam 3 bulan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 November, 2012: Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) mengenai Palestin akan menyerahkan laporan siasatannya dalam tempoh tiga bulan sama ada wujud jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh tentera rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Ketua panel KLWCC mengenai Palestin, Musa Ismail berkata, suruhanjaya berkenaan telah mendengar semua hujah dan keterangan daripada sembilan saksi pada prosiding selama dua hari itu dan selepas menerima hasil siasatan, pihaknya akan mengesyorkan langkah seterusnya.

''Suruhanjaya akan mengesyorkan kepada pihak pendakwaan untuk menyenaraikan nama mereka yang akan didakwa selepas siasatan selesai,'' katanya pada prosiding berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, ketua pendakwaan, Prof. Gurdial Singh Nijar memohon bukan sahaja Israel malah negara-negara yang bersekutu dengannya dihadapkan ke mahkamah terhadap kekejaman mereka ke atas rakyat Palestin.

Seorang lagi anggota pendakwaan, Francis A. Boyle dalam hujahannya memberitahu, tindakan terhadap rejim Zionis Israel perlu dilakukan sekarang sebelum rejim itu mengusir semua penduduk Palestin dari tanah air mereka.

Dalam pada itu, seorang doktor warganegara Palestin, Dr. Waled Khateeb berkata, Israel berbohong apabila menyatakan tindakan tenteranya membedil hospital awam di Palestin kerana pejuang Palestin bersembunyi di dalam hospital berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu hanya suatu justifikasi rejim Zionis Israel untuk mempertahankan tindakan mereka.

''Saya tidak percaya pejuang-pejuang Palestin bersembunyi dalam hospital kerana sepanjang pengalaman saya sebagai seorang doktor, hanya kanak-kanak dan penduduk yang cedera berada dalam hospital,'' tegas beliau.

Waled, 52, yang berkhidmat sebagai doktor perubatan lebih 30 tahun di hospital termasuk di Baitulmaqdis berkata demikian ketika menjawab soalan Gurdial.

Lelaki berkenaan turut memberitahu, beliau pernah diugut bunuh oleh tentera rejim Zionis dalam perjalanannya untuk bertugas di Hospital Baitulmaqdis.

''Mereka mengugut akan membunuh saya jika meneruskan perjalanan malah mereka memberitahu tiada siapa akan bertanya mengapa mereka membunuh saya,'' katanya.

Menurut Waled, tentera rejim Zionis yang mengawal sekatan jalan raya turut tidak membenarkan wanita hamil dan penduduk Palestin yang cedera melepasi sekatan tersebut.

''Mereka (tentera Israel) dengan sengaja akan membiarkan wanita tersebut dan bayi yang dikandung serta mereka yang cedera mati di sekatan jalan raya itu,'' tegas beliau.

Sementara itu, seorang sukarelawan dari Norway, Anne Sunde, 44, berkata, beliau turut menyaksikan kekejaman tentera rejim Zionis membunuh rakyat Palestin di kem pelarian Sharab dan Shatila, Beirut pada 1982.

''Saya melihat mayat kanak-kanak dan wanita bergelimpangan dan pada masa yang sama rakyat asing telah diarah untuk meninggalkan tempat tersebut,'' katanya.

Sunde yang menangis ketika memberi keterangan itu berkata, beliau berasa berbelah-bahagi untuk meninggalkan tempat itu namun telah dipaksa berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, pada hari yang sama beliau berjaya ke Gaza dengan mengikuti seorang wartawan Norway yang mahu membuat liputan di kawasan berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment