My Add

Friday 2 November 2012

Kong Cho Ha: AES keka

JAMILAH HAMZAH
SHAH ALAM, JUMAAT, 02 November, 2012: Kementerian Pengangkutan menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara buat masa sekarang.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan AES sebagaimana telah dirancang dan kini dalam proses merujuk Pejabat Peguam Negara berhubung pendirian empat negeri Pakatan Rakyat (PR) yang memutuskan untuk menangguhkannya.

Menurutnya, kerajaan menggunakan AES adalah untuk menjaga keselamatan pengguna lalu lintas dan tindakan pembangkang akan mengancam nyawa rakyat.

"Kerajaan setakat ini tidak mempunyai cadangan untuk tangguh AES, pemimpin Barisan Nasional (BN) yang minta tangguh pun sebab mereka mahu penjelasan dan itu sebagai mengeluarkan pendapat mereka.

"AES penting untuk menjaga keselamatan rakyat terutama pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Kepimpinan PR sebulat suara bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan AES di empat negeri yang diperintah mereka. Ahli-ahli Parlimen BN dan Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN turut menyokong penangguhan pelaksanaan AES serta mahu ia dikaji semula.

Mengulas lanjut, Cho Ha berkata, bagaimanapun kerajaan sedang meneruskan usaha mendekati rakyat bagi memberi penjelasan tentang sistem AES.

"Kita akan teruskan usaha untuk memberi penjelasan kepada rakyat supaya mereka lebih faham tujuan pemasangan AES bagi menjaga keselamatan mereka," katanya.

Beliau turut meminta supaya tidak ada pihak yang cuba mempolitikkan AES demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya di Malaysia.

No comments:

Post a Comment