My Add

Thursday 8 November 2012

KP1M buka stor simpanan
 
 *ABDUL Azeez Abdul Rahim mendukung seorang bayi di pusat penempatan
sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk
Intan, semalam.
Oleh AINSAFRE BIDIN
TELUK INTAN, RABU, 07 Noember, 2012:- Kelab Putera 1Malaysia akan menubuhkan stor bekalan di tiga zon iaitu Utara, Selatan dan Pantai Timur bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagi zon Utara, stor bekalan itu akan dibuka di Tapah manakala zon Pantai Timur di Kuantan, Pahang dan zon Selatan di Kota Kemuning, Selangor.

Katanya, stor bekalan itu akan menyimpan barangan seperti tilam dan selimut serta makanan serta keperluan harian untuk kegunaan mangsa banjir.

"Bagi fasa pertama ini, kita dalam proses membuka tiga bilik stor bekalan yang dibuat mengikut zon untuk memudahkan kita bertindak menyalurkan bantuan.

"Zon Utara akan memberi bantuan sehingga sehingga ke Perlis manakala zon Selatan dari Selangor hingga ke Johor dan zon Pantai Timur sehingga ke Kelantan. Kita juga akan buka stor transit di Melaka Tengah," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas meninjau dan memberikan bantuan kepada 102 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong dan Dewan Orang Ramai Kampung Chikus di sini hari ini.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan kit keluarga yang berisi bekalan makanan untuk keperluan sebulan kepada 21 keluarga mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat penempatan sementara.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, setakat ini, pihaknya telah menyalurkan sebanyak 1,500 tilam dan selimut serta keperluan lain kepada mangsa banjir di Perak, Selangor, Melaka dan Johor.

Katanya lagi, bagi menghadapi banjir, Kelab Putera 1Malaysia kini mempunyai lebih 10,000 tilam dan selimut serta keperluan lain dalam simpanan yang akan diagihkan ke semua bilik stor bekalan berkenaan.

"Kilang kita juga sudah mengeluarkan sebanyak 1,000 tilam sehari untuk persiapan menghadapi musim banjir pada November, Disember dan Januari ini.

"Dalam tempoh tiga bulan ini, kita tidak akan keluar negara tetapi akan fokus di dalam negara untuk menghadapi banjir sehingga Januari depan," ujarnya.

Kata beliau, Kelab Putera 1Malaysia akan bergerak dengan kekuatan 60 orang termasuk 10 doktor pakar dan 10 paramedik serta dua ambulans bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Katanya, konvoi itu turut disertai lima buah treler membawa sekurang-kurangnya 40 tan barang dalam bentuk tilam, selimut serta barangan keperluan.

"Kami bekerjasama dengan polis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa di pusat penempatan banjir sementara," katanya.

Abdul Azeez berkata, kemudahan daripada Kelab Putera 1Malaysia itu adalah bantuan tambahan kepada mangsa-mangsa banjir di samping bantuan yang diberikan oleh JKM dan agensi-agensi kerajaan lain.

Beliau berkata, bantuan melalui Kelab Putera 1Malaysia adalah inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan banjir mendapat lebih keselesaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment