My Add

Wednesday 7 November 2012

KP1M, Skuad Sayang Wanita UMNO mulakan misi bantuan

 *SHAHRIZAT Abdul Jalil memangku seorang bayi, Adil Putra Mohd. Amin sambil
diperhatikan Abdul Azeez Abdul Rahim dan ibunya, Salina Saharuddin (duduk
kiri) di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil, Sepang, semalam.

SEPANG, SELASA, 06 November, 2012: Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bersama 60 sukarelawan termasuk 20 doktor hari ini memulakan misi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir besar yang melanda empat negeri sejak Ahad lalu.

Misi tersebut turut membawa bekalan makanan, minuman serta pelbagai keperluan lain seperti tilam, lampin, berus gigi dan tuala bagi diagihkan kepada semua mangsa di beberapa pusat pemindahan di kawasan bencana tersebut.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dalam misi kali ini pihaknya akan bekerjasama dengan Skuad Sayang Wanita UMNO yang diketuai sendiri Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"KP1M akan turun ke negeri-negeri yang terlibat banjir ini iaitu di Selangor, Johor, Melaka dan Perak bagi melaksanakan sumbangan misi mangsa banjir.

"Dalam masa sama, kita bekerjasama dengan Wanita UMNO yang akan pergi ke setiap kem pemindahan dengan dipantau oleh ahli parlimen dan ketua UMNO bahagian masing-masing," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil di sini.

Menurut Abdul Azeez, misi yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan bermula di Selangor sebelum bergerak ke tempat yang dilanda banjir di Johor.

Katanya, peserta misi tersebut kemudiannya akan ke Melaka dan Perak pada hari berikutnya.

"Pihak kami membawa sebanyak 30 tan bahan makanan dan fokus adalah di tempat dilanda banjir. Dalam masa sama, kita akan bekerjasama dengan agensi kerajaan terlibat bagi memberi bantuan tambahan tanpa mengira ideologi politik, bangsa dan agama," katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, pihaknya mengerahkan anggota Skuad Sayang di setiap kawasan dilanda banjir untuk memberi khidmat selama 24 jam kepada mangsa bencana alam itu.

Katanya, skuad tersebut digerakkan untuk membantu agensi kerajaan terlibat dalam proses pemindahan untuk kerja-kerja memasak, menjaga kebersihan pusat pemindahan dan sebagainya.

"Di semua pusat pemindahan, Skuad Sayang akan turun sebagai barisan hadapan sebagai pasukan sukarela untuk memberi bantuan sehingga semua pusat pemindahan itu ditutup," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Izman Adnan ketika ditemui berkata, sehingga pukul 11 pagi ini seramai 1,126 mangsa banjir yang melibatkan penduduk di lapan taman perumahan dan lima kampung ditempatkan di empat pusat pemindahan.

Katanya, jumlah tersebut meningkat berbanding semalam iaitu seramai 1,053 mangsa akibat paras air meningkat di Sungai Dengkil sehingga menyebabkan benteng pecah.

"Kawasan yang masih air bertakung ialah Kampung Cemperai iaitu kedalaman hampir dua hingga tiga kaki di samping beberapa kawasan lain iaitu Taman Kristal, Permata, Baiduri, Sri Tanjung, Kampung Semarang dan Revolusi Hijau.

"Kawasan lain pula sudah tidak dinaiki air sejak tengah hari semalam, bagaimanapun pasukan kami masih bersiap sedia memandangkan hujan lebat bermula petang hingga ke malam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment