My Add

Thursday 22 November 2012

KSN: Tiada kompromi terhadap penjawat awam bocor rahsia kerajaan

PUTRAJAYA, KHAMIS, 2 November, 2012: Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam yanzg didapati membocorkan rahsia-rahsia kerajaan.

Beliau berkata, kegiatan seperti memalsukan dokumen, membocorkan maklumat serta menyebarkan maklumat sulit dan sensitif kepada pihak lain akan mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Perbuatan membocorkan rahsia kerajaan tidak boleh dikompromi sama sekali.

Justeru itu, saya ingin mengingatkan semua Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan supaya lebih tegas dalam memberikan teguran atau amaran dan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang pelanggaran keselamatan termasuklah ketidakpatuhan, kecuaian, kelalaian penjawat awam sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan di agensi masing-masing," katanya.

Tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), katanya pada Konvensyen Keselamatan Perlindungan peringkat kebangsaan bertemakan "Mentransformasikan Keselamatan Perlindungan Seiring Transfromasi Perkhidmatan Awam" di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Untuk mentransformasikan keselamatan perlindungan, Ali berkata Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan diharap dapat menyediakan Dasar Keselamatan Perlindungan yang baharu bagi menggantikan atau mengemaskinikan dasar, peraturan, arahan, garis panduan dan prosedur yang sedia ada.

Ali berkata, isu keselamatan perlindungan teknologi maklumat juga berkait rapat dengan sistem keselamatan perlindungan fizikal, dokumen, informasi, peribadi dan persekitaran.

"Ia memerlukan kita agar lebih teliti dan berwaspada semasa menguruskannya.

Tanpa kawalan yang sempurna, informasi atau data yang dikendalikan boleh dipinda dan menjadikannya kurang tepat.

"Semua ini akan mendatangkan implikasi buruk dan mengundang malapetaka terhadap keselamatan, pertahanan, ekonomi, perjalanan fungso-fungsi kerajaan dan imej negara," katanya.

Untuk memantapkan pengurusan Keselamatan Perlindungan di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, Ali berkata kerajaan telah memperkenalkan Anugerah Pengurusan Keselamatan Perlindungan Tahun 2012.

Beliau berkata, anugerah ini diberikan kepada mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mengamalkan pengurusan keselamatan perlindungan mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Bermula tahun depan, kerajaan berhasrat memperkenalkan satu anugerah khas tahunan yang akan diberikan kepada mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang mengamalkan pengurusan keselamatan perlindungan yang terbaik sepanjang tahun.

“Penilaian akan dilakukan melalui Inspektorat atau Naziran keselamatan khas yang akan dilaksanakan. Usaha ini diharap dapat meningkatkan usaha dan komitmen Ketua Jabatan dan PeKeselamatan Jabatan secara konsisten mengamalkan, melaksanakan dan menguatkuasakan Keselamatan Perlindungan pada tahap terbaik sehingga dapat dibudayakan," katanya.

Pada majlis itu, Ali menyampaikan sijil pengiktirafan Pengurusan Keselamatan Perlindungan 2012 kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Parlimen Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Pentadbiran Am Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Lembaga Kemajuan Negeri Pulau Pinang, dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment