My Add

Thursday 8 November 2012

Lapan ahli KWSP didapati bersalah menipu pengeluaran perumahan

KUALA LUMPUR, RABU, 07 November, 2012: Seramai lapan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan menipu pengeluaran perumahan bagi suku tahun ketiga 2012.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, kesemua mereka bersalah dan didenda berjumlah RM13,300 oleh mahkamah mengikut Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

Lima daripada mereka berkemungkinan dipenjara sehingga dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penipuan pengeluaran itu yang membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi pengeluaran daripada akaun mereka adalah satu kesalahan serius mengikut Akta KWSP 1991.

"Mengikut akta itu, mereka yang didapati bersalah melakukan penipuan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali," katanya.

Nik Affendi berkata, bagi ahli yang disabit kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan kepada KWSP dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, hanya dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama selepas tempoh dua tahun dari tarikh wang dipulangkan.

Katanya, ahli yang tidak memulangkan wang atau memulangkannya selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama, selama-lamanya. 

"KWSP ingin menegaskan bahawa simpanan KWSP adalah untuk membiayai kehidupan semasa persaraan dan ahli sendiri yang akan rugi jika mereka cuba mengeluarkan simpanan KWSP melalui cara yang tidak sah," katanya.

Nik Affendi mengingatkan ahli KWSP yang kesempitan wang supaya tidak terpengaruh dengan sindiket yang menawarkan untuk membantu mereka mengeluarkan simpanan secara penipuan kerana ia adalah satu kesalahan yang serius dari segi undang-undang.

Ahli KWSP yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan penipuan boleh menghubungi talian hotline Anti-Fraud KWSP di 03-26162121. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment