My Add

Friday 9 November 2012

Lynas kini boleh mulakan operasi

 

*KAKITANGAN Lynas berdoa tanda syukur di pekarangan mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan syarikat memproses nadir bumi itu memulakan operasi, di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
Oleh ZAMZURINA AHMAD
KUANTAN, KHAMIS, 08 November, 2012: Lynas Advanced Material Plant (LAMP) boleh memulakan operasi selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan tiga penduduk Kuantan untuk melanjutkan perintah injunksi interim (sementara) terhadap Lesen Operasi Sementara (TOL) ke atas syarikat tersebut.

Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan demikian dengan alasan masih terlalu awal untuk penduduk tersebut untuk mencabar pemberian TOL oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada syarikat memproses nadir bumi itu bagi memulakan operasi.

‘‘Saya berpendapat masih terlalu awal untuk mempertikaikan status TOL dalam kes ini dan adalah lebih sesuai jika pertikaian dibuat dalam semakan kehakiman" kaanya.

Doa, air mata syukur iringi pekerja

Keputusan Mahkamah Tinggi di sini, yang membenarkan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) beroperasi disambut dengan doa dan air mata kesyukuran oleh pekerja syarikat itu yang berhimpun di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuantan sejak awal pagi ini.

Kumpulan pekerja dan penyokong Lynas kira-kira 500 orang yang rata-ratanya beragama Islam itu turut berulang kali melaungkan takbir sebagai tanda meraikan kejayaan sebaik sahaja dimaklumkan keputusan Hakim, Datuk Mariana Yahya yang memihak LAMP.

Dalam masa sama, suasana menjadi sayu seketika apabila ada dalam kalangan pekerja LAMP menangis dan menadah tangan berdoa tanda bersyukur kepada Allah SWT di atas keputusan itu yang sekali gus menjamin periuk nasi mereka tidak terjejas.

Senyuman dan keceriaan juga jelas terpancar di wajah setiap daripada mereka berikutan loji memproses nadir bumi itu akhirnya dibenarkan beroperasi sekali gus meninggalkan segala kegelisahan sebelum ini berhubung kedudukan LAMP yang ditentang pihak anti-Lynas melalui pelbagai usaha. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment