My Add

Friday 16 November 2012

Maal Hijrah disambut sederhana  mengikut konsep wasatiyyah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 15 November, 2012: Sambutan Maal Hijrah 1434 hari ini disambut sederhana dengan aktiviti keagamaan termasuk kuliah dan ceramah yang menyeru umat Islam berhijrah ke arah perpaduan sejajar dengan tema sambutan tahun ini Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Di PUTRAJAYA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan berkata umat Islam perlu menyingkirkan sifat-sifat yang membawa perpecahan, sebaliknya mencari titik persamaan dan bukannya perbezaan serta berlaku adil dan ikhlas demi membina kekuatan dan perpaduan ummah.

Katanya, perpaduan memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan semangat penerimaan yang mendalam; mencari kebaikan bukan keburukan, kesempurnaan bukan kecacatan; sentiasa meraikan, memuji, menasihati, menegur; dan jauh sekali meminggir, memaki, menghina ataupun memfitnah.

Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata, Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri menyediakan ruang untuk seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, menyumbang dan berbakti untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara.

"Justeru, sempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah kita mengukuhkan perpaduan dan kerjasama bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga antara sesama rakyat Malaysia yang berlainan kaum dan agama," katanya.

Pada majlis itu, Adenan Mohd. Yussuf dan Prof. Dr. Hajah Arsiah Bahron masing-masing dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah dan anugerah Saiyidatina Khadijah peringkat negeri Sabah tahun ini.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, umat Islam di Melaka perlu menjadikan tahun baru Islam sebagai satu transformasi ke arah perjuangan yang berani untuk menentang segala bentuk pendustaan terhadap al-Quran dan terhadap Nabi Muhammad SAW.

"Kita wajar menolak pemimpin yang menggunakan agama untuk kepentingan politiknya yang boleh mengelirukan umat Islam," katanya.

Pada majlis itu, tokoh pendidik yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad, 76, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Melaka.

Di KUANTAN, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bertitah kepada umat Islam agar menghayati konsep wasatiyyah atau kesederhanaan atau seimbang dalam meneruskan kesinambungan konsep hijrah yang dipelopori oleh baginda Rasulullah SAW.

"Seperti hijrah Rasulullah yang kemudiannya berjaya menegakkan kerajaan Islam yang mempunyai pelbagai kaum atau masyarakat majmuk, konsep wasatiyyah jika diamalkan di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat mewujudkan negara yang gemilang tetapi juga suasana yang harmoni," titah baginda.

Dalam majlis berkenaan Sultan Ahmad Shah menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Datuk Mohd. Mokhtar Shafie, seorang anak jati Pahang merupakan seorang ahli akademik yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan serta pernah menerbitkan 10 buah buku berkaitan Syariah Islamiah.

Di JOHOR BAHARU, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman meminta seluruh umat Islam supaya membentuk perpaduan, mengamalkan kesederhanaan dan sekali gus menolak budaya ekstrem dalam kehidupan.

"Budaya kesederhanaan adalah kunci yang memastikan kerukunan hidup rakyat berbilang kaum di negara ini. Sesungguhnya, hasil daripada mengamalkan pendekatan wasatiyyah sejak dulu lagi, Malaysia sebagai sebuah negara Islam demokratik telah muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi," katanya.

Penolong Pengarah Sekretariat Menangani Isu-Isu Akidah dan Syariah di Jabatan Mufti Johor, Jainal Sakiban, 65, dipilih sebagai tokoh Maal Hijrah 1434 Johor atas pelbagai sumbangannya terutama dalam bidang penulisan khat.

Di MUKAH, Sarawak Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ajaran Islam yang tidak ekstrem yang diamalkan di negara ini hari ini telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni, bersatu dan aman walaupun masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum.

Orang Islam dan bukan Islam, katanya, adalah kumpulan yang padu dan dapat hidup, berinteraksi dan bekerja dengan rapat bersama-sama.

Abdul Taib menyampaikan Anugerah Maal Hijrah Keluarga Cemerlang kepada pasangan Bolhan Omar dan isteri, Aminah Ajis dari Kabong di Bahagian Betong dan Anugerah Maal Hijrah Tokoh Cemerlang (Bukan Islam) kepada Liew Jiew Ming, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri.

DI KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar semua pihak hendaklah mematuhi larangan berceramah tanpa mendapat tauliah daripada pihak berkuasa jabatan agama di negeri itu.

"Larangan itu dikeluarkan supaya ia dipatuhi oleh semua pihak bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negeri dan rakyat di negeri itu," titah baginda pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

Pada majlis berkenaan bekas Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu tahun 1994-1998, Datuk Ismail Ali, 70, dari Kampung Tanjung Sabtu di sini telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu tahun ini.

Di ALOR SETAR, Bekas pendaftar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Datuk Abdul Razak Mohd Yusof, 70, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1434 peringkat negeri Kedah.

Anugerah disampaikan oleh Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tunku Temenggong Kedah.  - UTUSAN

Tujuh tokoh Melayu terima anugerah Maal Hijrah

*MOHD.. Yussof Latiff (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Omar Osman yang dipilih sebagai Tokoh Pendidikan sempena sambutan Maal Hijrah di Pulau Pinang, semalam.

GEORGE TOWN: Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) memberi anugerah kepada tujuh tokoh Melayu di negeri ini sempena sambutan Maal Hijrah 1434 hari ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata pengiktirafan itu diberi sebagai tanda penghargaan kepada individu yang telah banyak menabur bakti kepada masyarakat dan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Penerima anugerah berkenaan ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Omar Osman (Tokoh Akademik), komposer Ahmad Ramli (Tokoh Seni/Budaya), ahli perniagaan Datuk Mohd. Noor Hussain (Tokoh Usahawan) dan Penasihat Sekretariat Alumni Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat negeri, Abdul Aziz Salleh (Tokoh Agama).

Sementara itu, pensyarah undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Sulaiman Abdullah, penasihat undang-undang Abdul Fareed Abdul Ghafoor dan pesara guru Fatimah Md. Yusoff dinobat sebagai Tokoh Kemasyarakatan.

Sijil dan pingat penghargaan disampaikan oleh Mohd. Yussof kepada semua tokoh berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment