My Add

Monday 26 November 2012

Mahathir: Malaysia perlu kawal urus niaga emas

 KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Malaysia perlu mewujudkan peraturan yang sewajarnya untuk mengawal urus niaga emas bagi mengekang aktiviti pengambilan untung secara tidak sah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata peraturan untuk urus niaga emas amat penting memandangkan logam kuning berharga itu diniagakan dalam nilai yang tinggi.

"Ini amat penting kerana kita perlu membeli dan menyimpan emas kerana emas meningkat dari segi nilainya," kata beliau kepada pemberita di luar persidangan tahunan dunia mengenai Riba (usury).

Dr Mahathir berkata, syarikat urus niaga emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd, seharusnya disiasat secara teliti mengenai aktiviti urus niaganya.

Genneva Malaysia ialah antara empat syarikat urus niaga emas yang diserbu oleh pihak berkuasa, termasuk Bank Negara Malaysia, kerana disyaki melakukan kesalahan seperti pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Syarikat urus niaga emas lain yang turut diserbu ialah Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

Dr Mahathir berkata, Genneva seharusnya disiasat untuk mencari yang sebenar-benarnya apa yang mereka lakukan adalah salah.

Ditanya sama ada keputusan untuk menyiasat syarikat-syarikat urus niaga emas untuk kesalahan yang disyaki akan menyebabkan reaksi tindak balas kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata: "Saya rasa kita patut berhati-hati apabila mengambil keputusan tanpa menambah lagi masalah itu. Mesti siasat dulu."

Persidangan dua hari yang bermula hari ini, akan menyediakan wadah untuk perundingan secara mendalam dan menyeluruh mengenai Riba dan hubungannya kepada kemelesetan global yang berterusan, inflasi dan pergolakan sosial.

Bertemakan "The Multifaceted Global Crisis on Riba: Resilience, Response and Reform", persidangan itu telah menghimpunkan 300 ahli akademik, pemimpin korporat dan industri, penggubal dasar, pengawal selia, orang awam dan pelajar.

Ia dianjurkan oleh Thinkers Trends Resources sementara penganjur bersama ialah Institut Perbankan dan Kewangan Islam Universiti Islam Malaysia dan Pusat Al Ghazzali untuk Sains dan Pembangunan Insan Islam.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment