My Add

Tuesday 27 November 2012

MAKNA rancang kerjasama dengan penyelidik asing tingkat rawatan kanser

KUALA LUMPUR, SELASA, 27 November, 2012: Majlis Kanser Nasional (MAKNA) merancang menjalinkan kerjasama dengan penyelidik antarabangsa dalam usaha meningkatkan teknik dan kaedah rawatan kanser di rantau Asia Tenggara.

Pengasas merangkap presiden MAKNA, Datuk Mohd Farid Ariffin, berkata usaha

itu akan dimulakan dengan pembukaan pusat MAKNA di negara Asia Tenggara dalam masa tiga tahun akan datang. "Sudah tiba masa, MAKNA menyebarluaskan peranannya membantu pesakit kanser di sekitar rantau Asia Tenggara dengan bantuan pertubuhan di sana selain membantu pesakit di negara ini.

"Apatah lagi dalam usaha meningkatkan kajian bagi mencari lebih banyak penawar penyakit ini, kita (MAKNA) sentiasa akan membantu dari segala segi," katanya kepada media di Majlis Anugerah Penyelidik Kanser MAKNA 2012 di Akademi Sains Malaysia (ASM) di sini, hari ini.

Pada tahun ini empat penyelidik berdaftar dengan ASM menerima anugerah itu berupa geran tunai antara RM15,000 ke RM30,000 dan disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Paduka Prof Dr Khatijah Mohd Yusoff.

Mohd Farid berkata, usaha penyelidikan penyakit kanser menjadi antara agenda utama MAKNA selain memberi bantuan pembiayaan rawatan bagi pesakit kanser sejak pertubuhan itu diasaskan pada sekitar 1995. 

Katanya, sejak 2001 hingga kini MAKNA memperuntukkan sejumlah RM10.3 juta dalam bentuk anugerah geran kepada 36 penyelidik di negara ini yang menjalankan kajian ke atas kanser.

"Justeru itu seboleh mungkin MAKNA mahu berkongsi sumbangan dengan mewujudkan pusat di setiap negara Asia Tenggara dan negara Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha membantu pesakit kanser seluruh dunia," katanya.

Katanya, sejak 1996, MAKNA membantu kos rawatan 24,000 pesakit kanser negara ini membabitkan kos RM46 juta.

Katanya, jumlah berkenaan membabitkan kes kanser daripada 88 hospital kerajaan
seluruh negara yang dirujuk kepada MAKNA.

"Itu antara objektif MAKNA, membantu mereka yang ditimpa musibah berganda, berjuang melawan kanser dalam masa yang sama terpaksa menghadapi ketidakmampuan menanggung kos rawatan penyakit itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment