My Add

Monday 5 November 2012

Malaysia, EFTA bersetuju mulakan rundingan FTA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 November, 2012: Malaysia dan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) hari ini bersetuju memulakan rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tarikh untuk memulakan rundingan masih belum diputuskan dan akan dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua pihak.

"Cadangan perjanjian itu akan memudahkan penggalakan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi di kalangan negara yang memeterainya," katanya dalam satu kenyataan.

Mustapa berkata, FTA itu akan menyediakan akses bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia kepada semua empat negara anggota EFTA.

"Diharapkan FTA akan menyediakan persekitaran yang lebih telus dan boleh dijangka bagi para pelabur dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab pengeluaran," katanya.

Pengumuman itu dibuat bersama oleh Mustapa dan Johann N Scheider-Amman, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Switzerland yang mewakili EFTA di sini, hari ini.

EFTA dianggotai oleh Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein. Malaysia ketika ini sedang berunding dengan Kesatuan Eropah (EU) untuk memuktamadkan FTA dengan 27 anggota perkumpulan negara Eropah itu.

Satu perjanjian yang sama dengan negara anggota EFTA akan meluaskan perjanjian dagangan keutamaan Malaysia ke keseluruh Eropah.

Mustapa dan Scheider-Amman menyaksikan permeterian "scoping paper" yang akan mengesahkan perkara itu dirangkumi oleh cadangan FTA.

Malaysia diwakili oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria manakala EFTA oleh Didier Chambovey, Duta dan Wakil Kerajaan Switzerland bagi Perjanjian Perdagangan itu.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan negara-negara EFTA berjumlah RM4.8 bilion, di mana 81 peratus disumbang Switzerland. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment