My Add

Wednesday 7 November 2012

Malaysia perlu wujudkan lebih ramai pekerja mahir

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012: Malaysia perlu terus mewujudkan pekerja mahir bagi sektor minyak dan gas (O&G) kerana permintaan dijangka meningkat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau menekankan pentingnya program-program latihan kerana sektor O&G negara ini akan memerlukan lebih 40,000 pekerja mahir menjelang 2015.

"Permintaan sekarang amat khusus dan usaha ke arah mengadakan graduan mahir yang mencukupi sedang dipertingkat untuk memastikan bekalan yang mencukupi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyampaian Pensijilan Ujian Bertauliah Persatuan Kimpalan Amerika di bawah SIRIM Bhd kepada Pusat Pembangunan Kemahiran dan Pengurusan Industri Kedah (KISMEC) di sini hari ini.

Beliau berkata, menyedari permintaan ini, amat penting diadakan latihan berkualiti untuk melengkapkan bakat-bakat yang ada dengan kemahiran untuk menyertai tenaga kerja dengan jayanya.

"Jika kita tidak bersedia untuk memenuhi permintaan ini, pelabur-pelabur berpotensi mungkin lari," katanya.

Bagaimanapun, kata Mukhriz, Program Transformasi Ekonomi kerajaan bertujuan mengadakan lebih banyak kakitangan kimpalan mahir, termasuk juru kimpal, merinyu kimpalan dan jurutera kimpalan, untuk mengurangkan bilangan pekerja asing dan menarik pelaburan asing ke Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment