My Add

Sunday 4 November 2012

Malaysia tidak perlu import kelapa jika pengeluaran penuhi permintaan

BAGAN DATOH, AHAD, 04 November, 2012: Malaysia tidak perlu lagi mengimport kelapa dari Indonesia jika pengeluaran negara dapat memenuhi permintaan tiga juta biji kelapa pada setiap musim perayaan.

Menteri Pertanian dan Indusrti Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan terpaksa mengimport kelapa dari negara berkenaan berikutan bekalan sering tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di negara ini.

"Kerajaan terpaksa membeli kelapa import dengan harga 80 sen sebiji untuk tiga juta biji dengan nilai RM24 juta setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada 144 pekebun kecil projek pemulihan kelapa matag Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh.

Sementara itu, mengenai rayuan pampasan oleh pekebun kelapa matag yang mengalami kerugian berikutan kegagalan projek tanaman yang dimulakan pada tahun 2000, beliau berkata ketika ini, adalah penting bagi pekebun terbabit meneruskan tanaman kelapa matag yang boleh menghasilkan 25 biji pada setiap pokok.

"Mengenai rayuan petani untuk diberi pampasan kerana mengalami kerugian, kita lihat dulu... apa yang penting adalah untuk meneruskan program, sebab itu kita tambah peruntukan," katanya.

Noh berkata, bagi memulihkan projek berkenaan, kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Tanam Semula Kelapa Matag 2000-2008 membabitkan 207 hektar kawasan di Bagan Datoh. 

"Bagi meningkatkan keberkesanan program ini, peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta diluluskan bagi memastikan program ini dilaksanakan dengan jayanya menjelang 2014," katanya.

Beliau berkata, melalui program itu, kementerian akan menyediakan tanah, mesin, baja dan racun serta khidmat bimbingan kepada pekebun kelapa dari semasa ke semasa.

"Sementara menunggu kelapa matag mengeluarkan hasil, pekebun diminta menanam tanaman selingan seperti koko, kopi, nanas, jagung dan pisang.

"Kita tidak mahu petani menunggu empat tahun dan ini salah satu dasar agro makanan di mana kita mahu tanah yang ada digunakan secara maksimum," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment