My Add

Sunday 4 November 2012

Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 578 orang

JOHOR BAHRU,  04 November, 2012: Jumlah mangsa banjir yang dpindahkan di Batu Pahat meningkat kepada 578 orang hari ini berbanding 210 semalam dengan 10 buah pusat pemindahan dibuka.

Peningkatan tersebut berlaku apabila paras air Sungai Lenik bagi stesen pengumpulan data Jabatan Pengairan dan Saliran Ladang Chaah mencatatkan ketinggian 6.12 meter, melebihi paras bahaya 6 meter pada pukul 4 pagi ini.

Kawasan baru yang terjejas banjir hari ini ialah Kampung Parit Betong, Parit Othman, Kampung Sengkuang, Sekolah Kebangsaan Sri Comel, Sekolah Kebangsaan Agama Sri Tiga Serangkai, Parit Yusof dan Linau Kecil.

Kawasan yang masih terjejas banjir sejak semalam ialah Kampung Parit Gantung, Parit Lapis Laman dan Parit Sentang Batu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor, Khatijah Abdullah berkata pihaknya telah mengagihkan bantuan asas berupa makanan, minuman, bantal dan selimut kepada mangsa banjir.

Orang ramai diminta segera berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang telah ditetapkan sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai status terkini banjir di kawasan mereka melalui http://portalbanjir.mkn.gov.my atau Public@Infobanjir pada laman Twitter.

Di MELAKA, Seramai 91 mangsa daripada 19 keluarga di Tehel dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan banjir setelah rumah mereka dinaiki air hampir satu meter ekoran hujan lebat sejak awal petang hingga pukul 8 malam tadi.

Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Melaka, Mejar Jafri Mohamed berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Tehel di sini.- BERNAMA/UTUSAN 




No comments:

Post a Comment