My Add

Monday 26 November 2012

Media perdana tidak bersatu punca BN kalah PRU12
 
 Zainuddin Maidin
MUKADIMAH

Tan Sri Zainuddin Maidin, juga dipanggil Zam adalah bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu dan bekas Menteri Penerangan. Menceburi dunia kewartawanan sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar pada 1957 sebelum dilantik sebagai pemberita tetap 10 tahun kemudian, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.
 Ikuti pandangannya bersama wartawan Sinar Harian, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN, RISWANDI RAZAK dan jurugambar MIZAN MAT TAMIN berkaitan dunia kewartawanan hari ini dan isu politik tanah air yang semakin panas.
Tan Sri menjadi wartawan pada zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Boleh ceritakan serba sedikit pengalaman Tan Sri bersama beliau?

Tunku Abdul Rahman Putra adalah seorang pemimpin yang begitu mesra dan mudah didampingi oleh sesiapa sahaja. Dalam menyelesaikan masalah, beliau tidak melawan 'api dengan api.' Sebaliknya, beliau akan guna air termasuk dalam isu tiga komposisi kaum Melayu, India dan Cina di negara ini.

Sebagai wartawan yang mengikuti Tunku, kami memahami cara beliau bekerja. Sikap mesra kepada rakyat turut diberikan kepada pihak media. Kami senang untuk bekerja dengan beliau kerana kemesraannya, sikap tidak pernah marah dan suka berterus terang. Malah beliau sering menampakkan kepercayaan yang penuh kepada wartawan dalam menulis berita mengenainya.

Saya masih ingat satu peristiwa ketika beliau menghadiri ceramah di Kedah, sikap mesra dan bersahaja beliau itu terserlah apabila, semasa berucap secara tiba-tiba beliau nampak seorang rakan lama dalam program. Tunku secara spontan terus menegur, 'Eh, Mail Kucing, hang ada sini?' di tengah-tengah ucapan tersebut. Itulah cara beliau ambil hati orang ramai.

Begitu juga jika ada teguran, beliau akan cakap dalam nada yang baik tanpa menyinggung perasaan orang lain walaupun sebenarnya ketika itu Tunku sedang marah.

Sebagai contoh, pernah berlaku seorang menteri lambat datang ke Parlimen.Beliau tidak marah tetapi hanya menyindir, 'menteri kepala botak saya ni selalu mai lambat!' Itulah caranya yang menyebabkan kita sebagai wartawan suka ikut Tunku ke mana sahaja. Zaman Tunku ini adalah satu zaman yang menggembirakan bagi wartawan dan rakyat.

Tan Sri telah lama berkhidmat sebagai orang media sejak zaman awal kemerdekaan lagi. Apa pandangan Tan Sri mengenai perkembangan media sekarang berbanding dahulu?

Keadaan sekarang ini boleh dikatakan 'bebas' dan 'tidak bebas'. Kebebasan itu telah menyebabkan individu tidak lagi berasa bebas. Kebebasan individu tiada lagi seperti dahulu kerana dunia globalisasi. Perkara ini berlaku, tetapi sama ada kita sedar ataupun tidak, saya tidak tahu.

Namun, jika kita imbau media dahulu, tidak juga boleh kita katakan tidak bebas. Sebaliknya, kita memerlukan suatu keadaan yang tidak begitu bebas untuk mengasaskan suatu keadaan yang harmoni dan stabil bagi membangunkan negara. Itulah asas yang diambil sebelum merdeka lagi.

Ketika zaman itu juga negara lebih mementingkan soal kemiskinan dan pembangunan bagi kebajikan rakyat. Oleh demikian, soal kebebasan media belum lagi menjadi fokus utama yang perlu dirisaukan atau diberi tumpuan.

Komen Tan Sri mengenai etika kewartawanan sekarang berbanding dahulu?

Media sekarang kebanyakannya tidak beretika. Walaupun etika itu ada pada media arus perdana, tetapi secara keseluruhannya tidak beretika.

Jika pun etika itu wujud, ia kerana keperluan untuk melindungi akhbar berkenaan daripada disaman pihak tertentu yang menyifatkan ia laporan fitnah.

Baik Sinar Harian, Utusan Malaysia atau media arus perdana yang lain, mereka perlu ada etika untuk elak perkara ini.

Namun, etika ini tidak diterapkan oleh media lain termasuk media siber (online) yang boleh menyiarkan apa sahaja.

Itu sebab akhbar arus perdana berat sebelah dan dituduh pro kerajaan tetapi mereka sebenarnya tidak berbohong kerana perlu menjaga etika dan mahu elak saman. Kesimpulannya media dahulu beretika, media sekarang ada yang beretika dan ada yang tidak.

Kalau dahulu hanya orang tertentu sahaja yang boleh menjadi orang media iaitu orang yang telah dilatih, sekarang sesiapa sahaja boleh menjadi penyebar berita kerana adanya media baru.

Sesiapa saja boleh menulis dalam media baru tetapi asas kewartawanan tidak lagi diterapkan. Ini tidak wajar berlaku kerana mereka tidak diajar untuk mencari kebenaran dalam dunia media.

Adakah ini berlaku kerana adanya kemudahan internet yang boleh diakses dengan mudah?

Ya, kita berada dalam keadaan yang tidak terkawal dan saya sendiri tidak mampu untuk melawan arus globalisasi ini. kita perlu lalui juga perkara ini. Media dahulu dengan media sekarang tidak sama dan pendekatan yang perlu diambil juga perlu berbeza supaya selari dengan zaman moden kini. Kalau dahulu apa sahaja keluar dalam media, semua orang percaya tetapi tidak sekarang. Orang ramai sudah lali dan tahu 'ini pasti kaki bohong' jika tahu sesebuah media itu tidak lagi mengamalkan etika. Orang ramai perlu tahu menilai sesuatu berita yang keluar.

Bagaimana pula pengaruh media barat terhadap masyarakat di negara ini, adakah masih kuat seperti dahulu?

Pengaruh itu masih kuat, kerana pengaruh media barat sukar untuk dihalang. Jika dahulu kita mengikut media barat untuk melawan komunis, sekarang kita masih lagi dipengaruhi kerana adanya globalisasi. Kita sekarang menghadapi bahaya iaitu bahaya globalisasi dalam acuan barat.

Sejauh mana peranan media baru dalam di negara ini dan adakah mereka ini akan membantu dalam pembangunan generasi akan datang?

Perkara ini berlaku sejak dahulu lagi. Jangan kita anggap bahawa semua perkara baru yang datang memberikan perkara buruk. Sebaliknya, unsur negatif ini sudah wujud sejak dahulu lagi bukan pada zaman sekarang sahaja. Kita perlu menilai sendiri baik atau sebaliknya.

Pendapat Tan Sri mengenai Sinar Harian?

Saya lihat Sinar Harian adalah sebuah akhbar alternatif untuk diri saya sendiri dalam melihat satu pemberitaan yang seimbang. Walaupun ada cerita pembangkang tetapi bagi saya tidak mengapa. Saya sendiri baca Sinar Harian kerana mahu tahu berita pembangkang.

Bagaimana Tan Sri melihat keadaan media hari ini berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-12?

Saya yakin kita lebih bersedia berbanding 2008. Jika dahulu terdapat banyak kelemahan, malah media arus perdana sendiri tidak bersatu dan berpecah belah. Apabila RTM menyiarkan perkara positif seperti pembangunan di kawasan wakil rakyat tetapi sebuah televisyen swasta pula menyiarkan berita tidak puas hati atas dasar kebencian untuk menjatuhkan seseorang yang tidak dikehendaki oleh sesuatu pihak dalam parti.

Ini berlaku. Malah perkara ini pernah dibawa dalam satu mesyuarat namun barangkali tidak diendahkan. Ada juga kes apabila kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), projek kerajaan telah diberikan kepada pemilik tetapi ada stesyen televisyen yang cari pemilik yang masih tidak dapat kunci lagi.

Sepatutnya jika kita tidak menyukai seseorang pemimpin, kita tidak sewajarnya menyiarkan berita negatif tentangnya dalam televisyen.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pula menyiarkan berita yang memberi imej kerajaan anti bukan Melayu, contoh dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pelbagai isu yang melibatkan orang bukan Melayu diperbesar-besarkan.

Ini termasuk juga soal murtad yang sengaja diperbesar-besarkan. Gambar Nabi juga disiarkan, saya sendiri bantah tindakan ini kerana menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris yang lain pula sering memainkan isu buku 13 Mei, padahal buku tersebut belum ada pengharaman tetapi KDN pula ulas isu tersebut kata tidak diharamkan dan orang ramai pun secara automatik pergi cari dan beli buku tersebut. Ini satu publisiti secara tidak langsung oleh mereka. Dalam keadaan ini media yang menyokong kerajaan hanya Utusan dan lain-lain. Bagaimanapun perkara ni tidak berlaku sekarang di mana media kini lebih bersatu dalam menyampaikan pelbagai isu dalam satu nada.

Pandangan Tan Sri mengenai sokongan terhadap BN ketika ini?

Saya lihat orang ramai kini melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai orang yang jujur dan bekerja bersungguh-sungguh demi rakyat. Najib juga tidak menyakitkan hati orang, mereka tidak buat ucapan yang akan menimbulkan masalah kepada orang lain.

Beliau juga menggunakan pendekatan rendah diri iaitu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pun dia jumpa. Setakat ini saya tidak nampak kesilapan yang dilakukan oleh Najib.

Jika dahulu timbul isu bantuan melalui ketua bahagian tidak sampai ke bawah, kini beliau ada skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semua orang dapat.

Banyak perkara kita telah berjaya perbetulkan dan kita kini tidak lagi menghadapi krisis walaupun ada masalah dalaman parti yang belum berjaya diselesaikan. Masalah ini sebenarnya wujud sejak dahulu lagi, sememangnya sukar diselesaikan.

Perkara yang penting adalah ahli-ahli Umno mengundi bagi parti dan bukannya calon. Ini yang akan membolehkan kita menang dalam pilihan raya nanti. Kita sudah berubah dan wajar untuk kita beri sokongan kepada Najib.


Pada hemat Tan Sri apakah inti pati Presiden Umno pada perhimpunan agung parti ini minggu ini?

Saya rasa amanat yang akan disampaikan oleh Najib adalah untuk menggesa ahli mengundi parti dan bukannya mengundi calon. Ini perkara pokok yang perlu ditanam dalam minda perwakilan yang hadir.

Saya positif BN akan menang kerana dalam keadaan parti-parti pembangkang yang sedang berkecamuk dalam pelbagai isu.

Terbaru, dalam isu pemilihan perdana menteri, sikap Harakah sebagai media Pas, yang tidak bersepadu dalam parti itu. Akhbar ini dikuasai oleh pihak tertentu dalam parti.

Perkara ini turut dibangkit dalam muktamar Pas, baru-baru ini. Apabila ada desakan agar Abdul Hadi menjadi perdana menteri, wujud satu tulisan dalam Harakah yang meminta PKR jangan tersinggung, mengapa perlu Harakah berbuat sedemikian?

Begitu juga dalam isu doa 'KO BN' yang timbul. Sewajarnya isu ini tidak patut ada, kerana Pas sememangnya tidak mahu ada isu sensitif berlaku dalam muktamar. Malah isu Nurul Izzah Anwar juga tidak bicarakan. Namun akhirnya isu doa 'KO BN' ini pula yang timbul.

Apakah pengajaran yang perlu diambil oleh pemimpin Umno dalam muktamar parti itu?

Umno perlu belajar agar tidak menjadikan perhimpunan agung Umno seperti muktamar Pas yang lalu iaitu cuba menampakkan penyatuan akhirnya kelemahan yang timbul. Jangan timbulkan isu sensitif yang akan merugikan parti menjelang PRU13.

Ramalan Tan Sri pada PRU13 nanti?

Saya tetap berkeyakinan BN akan menang. Ini kerana jentera kali ini disusun dengan lebih kemas dan teratur berbanding dahulu. Kalau dahulu kita menyerahkan tugas melawan DAP kepada Umno, ini telah menyebabkan berlakunya sentimen perkauman Cina dan Melayu.

Tetapi sekarang kita telah berikan kepada MCA, dan MCA telah memberikan tekanan yang baik kepada pembangkang terutama dalam isu hudud. Presiden MCA, Chua Soi Lek telah ke hadapan walaupun beliau pernah ada kes dahulu. Tetapi disebabkan politik beliau lebih hebat daripada Anwar Ibrahim, beliau nampak lebih disegani.

Bagi saya majoriti dua pertiga di Parlimen itu Insya-ALLAH BN boleh dapat. Namun, untuk merampas semula negeri yang jatuh ke tangan pembangkang, saya kurang pasti terutama di Pulau Pinang dan Selangor yang mana peluang hanya 50-50. Bagaimana pun, orang Cina kini juga telah kembali kepada BN.

Dalam pembangkang sendiri pun hanya harap Pas sahaja, tidak mungkin orang Cina mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri. PKR pula saya rasa tidak punyai harapan dalam PRU13 kerana mereka tiada sesiapa lagi selain Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan kroni-kroninya. Siapa yang ada dalam PKR?

Manakala, faktor kemenangan BN pula boleh diambil kira dengan kerjasama cybertrooper yang banyak membantu. Dulu mereka banyak menyokong pembangkang dan protes. Faktor ini juga diambil kira. Selain itu, kerjasama media kerajaan juga menunjukkan positif yang seiring menyokong kerajaan.

No comments:

Post a Comment