My Add

Tuesday 27 November 2012

MILF mahu penurunan kuasa optimum

KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 2012: Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) berharap kerajaan Filipina akan melaksanakan proses penurunan kuasa secara optimum yang disertai dengan undang-undang bertulis susulan perjanjian damai yang membawa kepada gagasan penubuhan wilayah autonomi Bangsamoro pada Oktober lalu.

Pengerusi MILF, Murad Ebrahim berkata, formula baru itu akan membolehkan Bangsamoro berkongsi kuasa dan kemakmuran dengan kerajaan Pusat di Manila.

Menurut beliau, MILF menganggap perjanjian damai tersebut sebagai langkah penting dalam perjuangan Bangsamoro untuk mendapatkan hak menentukan status politik mereka.

"Perjanjian damai itu juga merupakan pengiktirafan terhadap identiti Bangsamoro, tanah warisan nenek moyang kami dan kuasa pemerintahan ke atas sebuah wilayah.

"Wilayah Bangsamoro juga secara pragmatik telah menunjukkan keupayaan secara kolektif dan mampu bersikap profesional sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi dan mampu berdikari," katanya ketika berucap pada Forum Antarabangsa UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Forum bertajuk Konflik dan Perdamaian Dalam Politik Rakyat - Melihat Ke Belakang Atau Memandang Ke Hadapan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan sama, Murad menghargai peranan kerajaan Malaysia khususnya Najib sendiri yang banyak membantu menjayakan proses perjanjian damai berkenaan.

Jelas beliau, pada 2001, Najib yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pertahanan sanggup meluangkan masa datang ke Mindanao untuk menubuhkan kontinjen pasukan pemantau antarabangsa (IMT) yang pertama.

"Malah, saya tidak terkejut apabila Najib bersetuju untuk hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai itu Oktober lalu kerana saya tahu tentang semangat kesederhanaan dan transformasi beliau," ujarnya.

Murad turut menyifatkan kesediaan UMNO memberi ruang kepada beliau berucap pada forum itu sebagai satu inspirasi kepada pemimpin Bangsamoro untuk memperbaharui hubungan sesama rumpun Melayu di rantau Asia Tenggara.

"Secara peribadi, saya ingin menyampaikan penghargaan warga Bangsamoro dan MILF kepada rakyat dan kerajaan Malaysia di atas keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi dalam usaha mencari penyelesaian secara damai terhadap isu Bangsamoro," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment