My Add

Thursday 22 November 2012

Mini Info Desa naik taraf

SIMPANG DURIAN, RABU, 21 November, 012: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasar 77 buah Mini Info Desa (MID) di seluruh negara akan dinaik taraf sebagai mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebanyak 136 MID lagi akan menjadi mini RTC tahun depan.

"Sehingga bulan ini 45 MID telah dinaik taraf sebagai mini RTC. Setakat ini terdapat 213 MID di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mini RTC Felcra Bhd. Lakai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Yussoff Dohab; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Hassan Mohd. Amin; Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang, Datuk Abdul Razak Mansor; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Datuk Azizuddin Meor Hamzah dan Pengurus Besar Kumpulan Felcra, Mohd. Fauzi Mohd. Tahir.

Shafie berkata, langkah menaikkan taraf MID kepada mini RTC adalah dalam usaha mempercepatkan transformasi luar bandar sebagai kawasan yang produktif dan maju.

Katanya, selain itu, ia juga untuk menjadikan mini RTC sebagai penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah yang tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

"Mini RTC ini nanti akan menjadi penyumbang kepada kelancaran program transformasi yang dilaksanakan di RTC. Kini tiga RTC sudah beroperasi iaitu RTC Gopeng, Perak, RTC Wakaf Che Yeh, Kelantan dan yang terbaru RTC Kuala Linggi, Melaka.

"Menerusi transformasi ke mini RTC ini, fungsi mini RTC menjadi lebih meluas dan tidak terhad sepertimana MID sebelum ini yang hanya berfungsi sebagai pusat memberi kursus berkaitan ICT. Ianya akan menjadi platform untuk menyelaras semua program daripada pelbagai agensi berlandaskan konsep strategi lautan biru nasional," katanya.

Katanya, penukaran kepada mini RTC ini bukan hanya melibatkan pembangunan infrastruktur luar bandar, sebaliknya lebih menjurus kepada menggalakkan kolaborasi pelbagai agensi dalam melaksanakan program mereka di premis mini RTC.

"Penekanannya berasaskan pendekatan strategi lautan biru nasional di mana pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan pihak swasta bersama-sama menggembeleng tenaga dan kepakaran dalam merealisasikan hasrat membangunkan penduduk luar bandar.

"Kolaborasi ini dijalankan dengan memaksimakan penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian yang terlibat dalam mencipta lonjakan dalam pembangunan luar bandar pada kos yang rendah dan tempoh masa pelaksanaan yang singkat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment