My Add

Friday 16 November 2012

MSDN wujud kerjasama para saintis

GOLD COAST, KHAMIS, 15 November, 2012: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penubuhan Rangkaian Diaspora Saintifik Malaysia (MSDN) akan memberi peluang kepada saintis-saintis negara bekerjasama dengan para saintis penyelidik di seluruh dunia.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat ramai rakyat Malaysia dihantar melanjutkan pelajaran di peringkat pascasiswazah di universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia.

Katanya, di Australia sahaja terdapat sekumpulan besar berjumlah kira-kira 300 orang sedang mengikuti pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD).

''Mereka pulang ke tanah air bukan sekadar membawa ijazah sarjana atau PhD tetapi turut mempunyai rangkaian dengan penyelidik-penyelidik di seluruh dunia," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran MSDN di Sheraton Mirage Resort and Spa, di sini hari ini.

Majlis pelancaran MSDN dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kehadiran hampir 100 rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di sekitar negeri Queensland.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Mohd. Rujhan Mustafa.

Menurut Mohamed Khaled, selepas mereka kembali ke tanah air, siswazah ini bukan sahaja membawa balik ilmu tetapi juga rangkaian dan mereka bukan sahaja akan menjadi pensyarah tetapi juga mengenali saintis-saintis luar negara.

''Lebih baik lagi kalau saintis luar negara itu adalah rakyat Malaysia. Pada masa ini ramai rakyat Malaysia yang sudah berhijrah menyatakan hasrat mahu menyumbang ilmu dan kepakaran mereka kepada negara," katanya. - UTUSAN

Mohamed Khaled menyifatkan penubuhan MSDN di Australia adalah satu kejayaan kerana bukan senang untuk mengumpulkan mereka dalam satu kumpulan yang sama.

Katanya, rangkaian itu akan diperluas ke negara lain selepas MSDN Australia bergerak dengan aktif.

"Ini merupakan satu cabaran sangat besar kerana melibatkan kumpulan yang telah bekerja dan masing-masing mempunyai komitmen. Kita harap dapat mengumpul satu jumlah yang munasabah dan mereka sesama sendiri dapat menggerakkan inisiatif ini di tempat masing-masing," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment