My Add

Tuesday 27 November 2012

Mualaf gagal merayu berhubung hak penjagaan anak

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, SELASA, 27 November, 2012: Seorang mualaf berbangsa India gagal dalam usaha untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang memerintahkan hak penjagaan ketiga-tiga anaknya diserahkan kepada bekas isteri.

Perkara itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan Muhammad Ridzuan Abdullah, 43, atau nama asalnya, K. Patmanathan untuk mendapat kebenaran merayu.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria yang bersidang bersama Datuk Hashim Yusoff, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha turut memerintahkan mualaf itu membayar kos RM10,000.

Sementara itu, permohonan semakan kehakiman bekas isterinya, M. Indira Gandhi, 37, untuk membatalkan pengislaman anak-anak mereka, ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi Ipoh, esok.

Muhammad Ridzuan memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 April lalu yang membatalkan rayuannya selepas permohonan bagi mendapatkan lanjutan masa memfailkan rekod rayuan, ditolak.

Muhammad Ridzuan diwakili oleh peguam-peguam Anas Fauzi, Mohamed Ibrahim Mohamad dan Nik Mohamad Anuar Badiruddeen. Indira Gandhi pula diwakili oleh peguam K. Shanmuga dan Fahri Azzat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment