My Add

Thursday 22 November 2012

Mubarak bukan ancaman - TPM
 
 *MUHYIDDIN Yassin diiringi Musa Aman (tiga dari kiri) menyampaikan cek kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Penyu, Awang Sirat Awamg Taul (dua dari kanan) di Kuala Penyu,

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
KOTA KINABALU, RABU, 21 November, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu calon Barisan Nasional (BN) melihat kehadiran ahli Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di kawasan masing-masing sebagai pembantu dan bukannya ancaman.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan sumbangan Mubarak penting kepada parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang disifatkan sebagai pilihan raya paling getir, sekali gus memastikan BN terus kukuh menerajui negara.

Beliau sangat berbangga dengan semangat ahli Mubarak yang masih aktif memberi sumbangan kepada parti dan gigih berjuang dalam arena politik, meskipun sudah bersara serta tidak memegang sebarang jawatan dalam BN.

“BN amat menghargai apa yang diberikan oleh Mubarak kepada parti kerana mereka masih sanggup memberi sumbangan dan mahu terus terlibat dengan politik negara.

“Mereka masih mempunyai pemikiran yang tajam dan sifat sayang kepada parti, mereka terus berjuang bagi mengukuhkan kedudukan BN di kawasan masing-masing. Sehubungan itu, saya tidak fikir kehadiran Mubarak sebagai ancaman kepada calon yang akan bertanding dan kita juga sudah tahu peranan Mubarak itu sendiri kepada parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis minum pagi bersama ahli Mubarak dan veteran UMNO Sabah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said dan Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Kira-kira 30 ahli Mubarak dan veteran UMNO Sabah hadir dalam majlis tersebut antaranya ialah Tun Sakaran Dandai, Tan Sri Kasitah Gadam, Tan Sri Ghani Gilong, Tan Sri Ampung Puyon dan Pengerusi Mubarak Sabah, Datuk Yussof Abd. Manan.

Muhyiddin berkata, sokongan Mubarak untuk melihat kedudukan BN terus kukuh dan mendapat sokongan rakyat adalah satu sumbangan yang besar kepada parti serta tidak harus meletakkan tanggungjawab itu kepada kerajaan sahaja.

Beliau berkata, peranan Mubarak sama seperti ahli BN yang lain iaitu bekerja keras memastikan kejayaan parti dalam pilihan raya umum dan memastikan semua negeri termasuk Sabah terus berada di bawah kepemimpinan kerajaan BN.

“Saya secara peribadi sangat menyanjungi sumbangan yang diberikan oleh Mubarak untuk terus berkhidmat membantu kerajaan bagi membela nasib rakyat. Ia satu sumbangan yang sangat penting kepada BN," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment