My Add

Thursday 8 November 2012

Muhyiddin ziarah veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad 

*MUHYIDDIN menziarahi veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang uzur di rumahnya di Kampung Lemal, Pasir Mas, hari ini. - Foto BERNAMA

PASIR MAS: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menziarahi veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang uzur di rumahnya di Kampung Lemal di sini sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke Kelantan hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, tiba pada jam 1 tengah hari dan meluangkan masa kira-kira 45 minit berbual mesra dengan Hussein.

Ketika ditemui pemberita, Muhyiddin berkata beliau mengambil kesempatan menziarah rakan seperjuangan lama dalam UMNO yang masih mempunyai semangat juang pada usia lebih tujuh dekad.

Muhyiddin menegaskan semangat yang ditunjukkan Hussein dalam perjuangan politiknya itu patut dicontohi generasi muda.

"Walaupun berusia 78 tahun, namun beliau masih bersemangat dalam perjuangan politiknya, inilah pejuang UMNO yang tulen.

"Saya doakan dia sihat semoga menjadi contoh kepada anak-anak muda bagaimana bersemangatnya dia dalam perjuangan (politik)," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin menghadiri majlis jamuan rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KPTM) di Lubok Jong, dan selepas mengunjungi Hussein, beliau menghadiri program lain di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Padang Kala. 

Turut hadir pada majlis ziarah itu ialah isteri Hussein, Puan Sri Khadijah Ibrahim, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa.

Hussein adalah bekas Ketua Penerangan UMNO yang memegang jawatan itu lebih 14 tahun.

Bekas pemimpin UMNO yang paling lama mencatat sejarah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang itu mengalami sakit tua sejak lebih 10 tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment