My Add

Thursday 22 November 2012

Najib nyala semangat pemain
 
 *NAJIB Tun Razak meluangkan masa bersama pemain-pemain bola sepak negara sewaktu meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - Utusan/Mohd. Shaharani Saibi
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
PETALING JAYA, RABU, 21 November, 201: Ketika moral pemain Harimau Malaya berada pada tahap terendah, kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan kunjungan mengejut pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM semalam, ternyata menyuntik semangat pemain.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama para pemain sambil melontarkan cabaran agar mereka bangkit daripada prestasi hambar dalam empat perlawanan persahabatan yang berakhir dengan keputusan yang mengecewakan.

Beliau juga menyifatkan tugas sebagai pemain bola sepak negara tidak banyak beza dengan Perdana Menteri iaitu disanjung ketika menang dan dikritik apabila kalah.

Beliau turut berjanji akan memberikan sesuatu yang istimewa jika Malaysia mampu mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.

"Tugas sebagai pemain bola ada banyak persamaan dengan tugas seperti saya (Perdana Menteri), apabila kita menang kita akan disanjung tinggi tetapi jika kita gagal, kita akan dikritik hebat.

"Bagi saya semasa kita berada di puncak, kita perlu melipat gandakan usaha untuk mengekalkan kejayaan tetapi apabila kita jatuh, kita harus bangkit semula daripada kegagalan.

"Keputusan perlawanan persahabatan yang mana kita kalah dengan Vietnam dan Thailand, selain seri dengan Hong Kong serta Bangladesh memang bukan keputusan yang memberangsangkan.

"Namun, semua itu kita kena tolak ke tepi dan inilah peluang untuk kita bangkit. Rakyat Malaysia sentiasa akan memberi sokongan dan saya yakin dengan kekuatan pasukan.

"Walaupun semua pihak tahu para pemain diberikan gaji yang lumayan, tetapi jika kita berjaya mempertahankan kejuaraan, kerajaan akan memberikan sesuatu kepada pemain," kata Perdana Menteri.

Turut menemani Najib ialah Naib Presiden FAM, merangkap pengurus skuad pasukan, Datuk Subahan Kamal, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan seorang lagi Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pada majlis berkenaan, ketua pasukan, Safiq Rahim menyerahkan jersi No. 11 kepada Perdana Menteri sebagai tanda terima kasih atas kesudian beliau meluangkan masa bertemu pemain biarpun terikat dengan kesibukan tugas.

Safiq, yang mewakili rakan sepasukan terharu dengan kunjungan Perdana Menteri dan berjanji akan memberikan aksi terbaik pada kejohanan sebenar nanti.

"Saya dan rakan-rakan berjanji akan melakukan sedaya mampu dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF.

"Kami akan cuba memenangi perlawanan pertama dengan Singapura, Ahad ini dalam usaha mahu bangkit daripada kekecewaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment