My Add

Tuesday 6 November 2012

Najib tiada masalah Hadi bertanding di Pekan

VIENTIANE, ISNIN, 05 November, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum akan datang.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, bagaimanapun beliau merasakan Hadi yang juga ahli Parlimen Marang tidak serius dengan kenyataannya itu.

''Saya tidak tahu (tentang hasrat Hadi untuk bertanding di Pekan), betulkah beliau serius (ingin bertanding).

''Saya tidak fikir beliau (Hadi) serius, tetapi terpulanglah kepadanya (Hadi) untuk membuat keputusan (bertanding atau tidak di Pekan)," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas laporan akhbar Jumaat lalu tentang kesediaan Presiden Pas itu untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya Hadi serius untuk mencabarnya di Pekan, beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mempertahankan kerusi itu.

''Sesiapa (mana-mana calon) bebas untuk bertanding di mana-mana," katanya.

Najib berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kesembilan Asia-Eropah (ASEM) 2012 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini.

Hadi membuat kenyataan itu ketika ditanya apakah beliau akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Marang atau mempunyai perancangan untuk bertanding di luar Terengganu.

Kenyataan Hadi itu disokong oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi 'lampu hijau' kepada Hadi dan menyokong kenyataannya untuk mencabar Perdana Menteri di kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya umum itu nanti.

"Dia (Abdul Hadi) adalah Presiden parti, jadi apa (hasratnya) yang dicakapkan kita akan turut dan sokong demi kebaikan parti serta perjuangan Islam," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment