My Add

Wednesday 21 November 2012

Nilai dagangan D-8 meningkat

ISLAMABAD, SELASA, 20 November, 2012: Nilai dagangan dalam kalangan negara anggota D-8 telah meningkat daripada AS$433 bilion (RM1.34 trilion) pada 1997 kepada AS$1.725 trilion (RM5.34 trilion) pada tahun lalu.

Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ahsraf Saheb berkata, nilai dagangan itu menunjukkan pertumbuhan perdagangan sebanyak 20 peratus dan mempunyai potensi untuk meningkat pada masa depan.

"Nilai dagangan negara anggota D-8 dengan Amerika Syarikat pula mencatatkan angka AS$130 bilion (RM403 bilion) pada 2011, yang merangkumi sebanyak 7.5 peratus daripada keseluruhan nilai dagangan," katanya ketika berucap di majlis Forum Perniagaan D-8 di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, perdagangan dua hala dan pelaburan antara negara anggota D-8 itu sendiri belum lagi mencapai potensi yang sepenuhnya.

Justeru, beliau menyifatkan Forum Ekonomi D-8 kali ini mempunyai potensi yang meluas untuk mewujudkan sinergi keusahawanan yang seterusnya menjana kekayaan dan kesejahteraan kepada penduduk dalam negara gagasan yang berusia 15 tahun itu.

Bagaimanapun, katanya, dengan pemeteraian dan penguatkuasaan Perjanjian Perdagangan Keutamaan (PTA) membolehkan integrasi ekonomi antara negara-negara anggota diperhebatkan.

"Pelaksanaan kerjasama yang jitu dalam perjanjian itu membolehkan negara-negara D-8 mencapai sasaran nilai dagangan mencecah AS$500 bilion (RM1.6 trilion) menjelang 2018," katanya.

Pervez seterusnya memberitahu, sejak penubuhan blok D-8, kesemua negara terbabit telah memberi kerjasama tanpa melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan hubungan dua hala dan berbilang hala akan komitmen yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota.

Dalam pada itu, tambah beliau, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara D-8 menunjukkan purata pertumbuhan sebanyak enam peratus, manakala Turki pula mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak sembilan peratus.

Katanya, sektor swasta menjadi tenaga penggerak dalam bidang ekonomi dan penglibatan mereka amat penting untuk mencapai objektif dan kerjasama dalam D-8. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment