My Add

Tuesday 20 November 2012

Obama: Hentikan konflik etnik di Rakhine

YANGON, ISNIN, 19 November, 2012: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam lawatan bersejarah ke Myanmar hari ini, menggesa konflik etnik dan agama di barat negara ini ditamatkan.

Beliau berkata, tiada alasan untuk melakukan keganasan terhadap mereka yang tidak bersalah.

''Usaha perdamaian akan memakan masa, tetapi atas alasan kemanusiaan dan masa depan negara, perbuatan menghasut dan keganasan perlu dihentikan.

''Hari ini, kita melihat keganasan terbaru di negeri Rakhine menyebabkan penderitaan yang sangat teruk dan kita juga dapat melihat bahaya yang akan berlaku jika konflik ini berterusan,'' katanya ketika berucap di Universiti Yangon, di sini.

Obama berkata, rakyat negara ini termasuk etnik Rakhine telah lama dikekang kemiskinan dan penindasan, tetapi tiada alasan keganasan dilakukan terhadap rakyat yang tidak bersalah.

''Etnik Rohingya juga mempunyai perasaan dan maruah sama seperti anda dan saya juga mempunyai perasaan yang sama,'' katanya.

Sementara itu, ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi melahirkan kebimbangannya terhadap reformasi politik yang pantas di negara ini, selepas mengadakan perbincangan dengan Obama dan memberi amaran terhadap risiko kejayaan dalam khayalan.

"Masa yang paling sukar dalam sebarang proses peralihan adalah apabila kita memikirkan kejayaan hanya pada pandangan," katanya pada sidang media bersama Obama di kediamannya.

Obama pula berkata, matlamat lawatannya ke Myanmar adalah untuk mengekalkan momentum demokrasi.

"Ia termasuklah membina institusi kerajaan yang boleh dipercayai, mewujudkan undang-undang, menghentikan konflik etnik dan memastikan rakyat negara ini mempunyai akses kepada pendidikan yang lebih baik, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi.

"Saya mahu berikrar kepada rakyat negara ini bahawa saya yakin dan ia telah terbukti yang kita boleh melihat peningkatan berterusan ke arah memperbaiki hubungan dua hala antara Myanmar dan AS dan kami akan lakukan segala yang termampu untuk memastikan kejayaan di negara ini," kata Obama.

Obama mengadakan perbincangan dengan Suu Kyi di vila milik penerima Hadiah Nobel Keamanan itu yang terletak dekat sebuah tasik, yang menjadi tempat beliau menghabiskan sepanjang masanya di bawah tahanan di dalam rumah sebelum ini.

Ini merupakan lawatan pertama Presiden AS ke Myanmar dalam tempoh beberapa dekad. - AFP

No comments:

Post a Comment