My Add

Saturday 17 November 2012

Obama, RCEP bakal jadi tumpuan utama mesyuarat ASEAN

PHNOM PENH, JUMAAT, 16 November, 2012: Kehadiran Barack Obama yang dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menjadi tumpuan utama pada Sidang Kemucak Asean ke-21 dan sidang kemuncak berkaitan di sini.

Obama dijadual bertemu dengan semua 10 pemimpin negara ASEAN pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN-AS di Peace Palace di sini, pada Isnin ini.

Hubungan ASEAN-AS bermula 35 tahun lalu dan mereka dijangka meraikan ulang tahun pada mesyuarat tersebut.

"Mesyuarat ini penting kerana pentadbiran Obama kini memberi tumpuan yang lebih kepada rantau Asia Pasifik selain mempromosikan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang diperkenal AS, kerjasama perdagangan serantau dalam kalangan negara Asia Pasifik," kata seorang diplomat dari Asean yang tidak mahu dinamakan.

Mesyuarat itu akan berlangsung pada Ahad iaitu selepas mesyuarat ketua-ketua kerajaan Asean semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 di Peace Palace yang turut menempatkan Pejabat Perdana Menteri Kemboja.

Obama juga dijadual menghadiri Sidang Kemucak Asia Timur (EAS) di venue sama pada Selasa.

Selain Obama, pemimpin dari Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand juga dijadual menyertai mesyuarat bersama pemimpin Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam itu. 

Sidang Kemuncak EAS yang pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada 2005 dan pada awalnya meliputi 16 negara dari Asia Timur namun telah diperluas kepada AS dan Rusia sejak tahun lalu.

Selain kehadiran Obama, RCEP yang ditubuh pada pertemuan ASEAN + 6 di Bali, Indonesia tahun lepas, juga dijangka menjadi tumpuan.

RCEP bakal muncul sebagai sebuah pasaran yang menawarkan lebih tiga bilion penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah AS$17 trilion, sekali gus menjadikannya blok ekonomi terbesar dunia.

ASEAN dan enam rakan dialog; Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand, menandatangani pakatan itu yang bertujuan mempermudahkan prosedur perdagangan dan aliran pelaburan.

Semua enam rakan dialog terbabit menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) secara berasingan dengan ASEAN dan pakatan baharu ini akan terus memperkukuhkan kedudukan mereka.

Pada sidang kemuncak kali ini, ASEAN dijangka menerima Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean selain melancarkan Institut Perdamaian dan Keamanan ASEAN (AIPR). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment