My Add

Wednesday 21 November 2012

Obama setuju hentikan keganasan




*NAJIB (kiri) hadir pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang dipengerusikan oleh Obama (dua dari kanan) di Phnom Penh, Kemboja semalam. Turut hadir Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kanan).


PHNOM PENH - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi respons positif kepada gesaan Malaysia dan Indonesia dalam usaha menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza, Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Obama memaklumkan kepadanya pagi semalam bahawa beliau telah membuat beberapa panggilan telefon malam kelmarin dalam usaha menghentikan keganasan.

Tindakan itu adalah susulan langkah Malaysia dan Indonesia membangkitkan isu berkenaan pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN-Amerika Syarikat di sini.

"Dalam pertemuan itu, saya memohon kepada Obama agar bertindak menghentikan keganasan yang sedang berlaku di Gaza dan mencari penyelesaian jangka sederhana dan panjang berdasarkan penyelesaian dua negara (seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebagai asas kepada resolusi konflik itu," kata Najib kepada media Malaysia di sini semalam.

Kedua-dua pemimpin berkenaan bertemu sekali lagi pagi semalam semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Perkongsian Rentas Pasifik di sini.

"Obama memaklumkan kepada saya pagi ini (semalam) bahawa beliau telah bertindak dengan membuat beberapa panggilan telefon.

"Obama berkata beliau akan cuba. Beliau mahu supaya keganasan yang berlaku sekarang dihentikan dan beliau tahu bahawa untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dan muktamad merupakan satu tugas yang sangat besar.

"Kami tahu tentang cabaran dan betapa rumitnya isu ini. Saya fikir di pihak beliau ada hasrat untuk mencari penyelesaian muktamad kepada perkara ini," kata Najib.

Israel melancarkan operasi serangan terkini yang dipanggil Pillar of Defence di Gaza sejak 14 November mengakibatkan lebih 100 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 300 lagi cedera. - Kosmo

No comments:

Post a Comment