My Add

Thursday 22 November 2012

Pakistan faham sebab PM tidak sertai D-8

ISLAMABAD 21 Nov. - Kerajaan dan media Pakistan memahami ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) Kelapan yang dijadualkan berlangsung di sini esok kerana kekangan masa dan komitmen politik tanah air.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Dr. Hasrul Sani Mujtabar, beliau sendiri mengadakan pertemuan dan memberi penjelasan kepada pihak terbabit mengenai perkara itu dan mereka memahami tugasan dan komitmen Perdana Menteri yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-21 di Phnom Penh, Kemboja dan urusan politik tempatan iaitu Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual minggu depan.

"Saya panggil pihak media Pakistan dan terangkan mengapa Perdana Menteri Malaysia tidak dapat hadir dan mereka memahami penjelasan yang diberikan.

"Walaupun tidak dapat hadir, saya telah memaklumkan kepada pihak Pakistan yang Perdana Menteri tetap memandang serius gagasan D-8 ini," katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini malam tadi.

Yang turut hadir dalam sidang kemuncak kali ini ialah Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad; Presiden Mesir, Mohamaed Mursi; Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono; Presiden Nigeria, Goodluck Ebele Jonathan; Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan; Menteri Luar Bangladesh, Dipu Monidan dan delegasi Malaysia diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berbeza dengan Bangladesh yang hanya diwakili oleh Menteri Luar, media tempatan memberi gambaran negatif yang dikaitkan dengan sejarah silam melibatkan konflik kedua-dua negara berkenaan.

Beliau tidak menolak walaupun gagasan itu lebih fokus kepada perkara berkaitan perdagangan, kemungkinan perkara mengenai politik antarabangsa khususnya serangan Israel ke atas Palestin turut disentuh oleh pemimpin negara-negara Islam berkenaan.

Menurut Hasrul, nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara kini berjumlah kira-kira RM8.4 bilion dan eksport utama Malaysia ke Pakistan ialah minyak kelapa sawit.

"Pakistan mempunyai potensi untuk ahli perniagaan Malaysia merebut peluang itu seperti dalam penyediaan sumber tenaga. Mereka juga perlu agresif mencari peluang tersebut dan berani menerokai pasaran baru," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu seramai 3,000 pelajar Pakistan kini menuntut di Malaysia dan kira-kira 73,000 pelancong dari negara ini melancong ke Malaysia setiap tahun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment