My Add

Monday 26 November 2012

Parlimen pinda peraturan larang MP guna kata tidak sopan

 KUALA LUMPUR, ISNIN, 26 November, 20122: Usul untuk meminda dua Peraturan Mesyuarat termasuk penggunaan perkataan seksis ketika berhujah akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini bagi memastikan semua ahli Parlimen menjaga kata-kata dan mengelak penggunaan perkataan tidak sopan.

"Sekarang terlalu banyak insiden seperti itu, dan saya tidak rasa ia sesuatu tindakan sihat... kita perlu menghentikannya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata pindaan itu ialah pada Peraturan Mesyuarat 36(4) yang menyatakan "adalah menjadi kesalahan bagi ahli-ahli dewan yang menggunakan bahasa yang kurang sopan (biadab)".

"Pindaan itu adalah dengan menambah ayat "atau membuat pernyataan yang seksis", katanya.

Nazri berkata, Malaysia akan menjadi negara pertama membuat pindaan seperti itu, dan ia kelak dapat memastikan penghormatan terutama kepada ahli-ahli Parlimen wanita.

"Kadang-Kadang orang terlanjur bercakap menggunakan perkataan yang seksis, maka semua ahli Parlimen perlu berhati-hati kerana tindakan itu akan dianggap sebagai kesalahan selepas Peraturan Mesyuarat itu dipinda," katanya.

Ketika ditanya siapa yang menentukan perkataan itu seksis atau tidak, beliau menjawab: "Itu akan ditentukan oleh Speaker kerana beliau mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan sama ada perkataan yang disebut itu seksis atau sebaliknya."

Beliau berkata pindaan juga akan dibuat pada Peraturan Mesyuarat 20(1) yang menyatakan "Risalat-Risalat mesyuarat hendaklah dibawa ke dalam mesyuarat hanya oleh Tuan Yang di-Pertua atau oleh seorang Menteri atau pengerusi jawatankuasa dan hendaklah dihantar kepada setiausaha".

"Pindaan itu akan melibatkan penambahan "risalat hendaklah dalam bentuk cetak, elektronik atau apa-apa rupacara yang diperintahkan oleh Tuan Yang Dipertua", katanya.

"Jawatankuasa Parlimen telah mengadakan mesyuarat untuk membuat beberapa pindaan kepada dua Peraturan Mesyuarat tersebut, dan saya telah menulis surat kepada Speaker untuk mendapat keizinan pembentangan usul mengikut Peraturan Mesyuarat 86(5).

"Saya juga telah menulis surat kepada Speaker hari ini untuk mendapat keizinan untuk mendahulukan usul ini esok selepas sesi soal jawab, dan saya percaya Speaker akan memberi kebenaran," katanya.

Mengulas tuntutan Hindraf yang mahu Kementerian Hal Ehwal Minoriti ditubuhkan, Nazri berkata, perkara itu tidak perlu dilakukan.

Beliau berkata hal ehwal minoriti lebih relevan dikendalikan Jabatan Perdana Menteri kerana ia tentu akan mendapat perhatian dan keutamaan terus Perdana Menteri.

"Lagipun, jika diwujudkan kementerian itu, ia akan menjadi kementerian 'junior', yang mungkin akan dianggap tidak penting oleh sesetengah pihak," katanya.

Semalam, Hindraf melancarkan pelan tindakan lima tahunnya yang menggariskan tuntutan bagi menubuhkan Kementerian Hal Ehwal Minoriti dan akan menyokong mana-mana parti yang mempersetujui cadangan itu serta mahu Hindraf mengetuai kementerian tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment