My Add

Friday 16 November 2012

Parlimen Singapura hapus hukuman mati mandatori

SINGAPURA, KHAMIS, 15 NovEMBER, 2012: Parlimen Singapura meluluskan rang undang-undang bagi menghapuskan hukuman mati mandatori bagi kesalahan penyeludupan dadah dan kes bunuh, memberi harapan baru kepada berpuluh-puluh pesalah yang sedang menunggu hukuman mati bagi kedua-dua kesalahan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, Parlimen secara rasmi meluluskan pindaan tersebut yang membolehkan hakim menukar hukuman mati kepada penjara seumur hidup di bawah keadaan tertentu.

Sebelum ini, beberapa kumpulan hak asasi manusia mendesak hukuman tersebut, yang dipraktik sejak era penjajahan British, dimansuhkan, namun kerajaan berkata, hukuman mati perlu bagi kebanyakan kes serius sebagai langkah pencegahan.

Sebelum ini, hakim tidak mempunyai pilihan, melainkan melaksanakan hukuman mati terhadap individu yang disabit kesalahan membunuh atau menyeludup dadah melebihi kuantiti tertentu.

Di bawah pindaan undang-undang itu, hakim kini mempunyai budi bicara untuk melaksanakan hukuman penjara seumur hidup terhadap individu yang disabit kesalahan membunuh sekiranya dia didapati 'tidak mempunyai niat untuk menyebabkan kematian,' kata kenyataan AGC.

Bagi kesalahan penyeludupan dadah, mahkamah boleh melaksanakan hukuman penjara seumur hidup seandainya tertuduh didapati 'hanya menjadi penghantar dadah' atau 'mengalami keadaan minda tidak normal yang menjejaskan keupayaan mental untuk terlibat dengan kesalahan itu.'

AGC yang meneliti kembali kesemua pelaksanaan jenayah berkata, ia akan mengadakan pertemuan dengan semua peguam yang mewakili 34 pesalah atas kesalahan membunuh dan kegiatan dadah, selepas Parlimen meluluskan pindaan tersebut.

Menurut kenyataan badan itu lagi, pesalah boleh meminta hukuman dibicarakan semula dan badan itu sedia bertemu dengan peguam mereka bagi membincangkan bagaimana undang-undang baru tersebut dimanfaatkan dalam kes mereka.

Dalam kes berkaitan dadah, pendakwa perlu mengesahkan bahawa pesalah telah berusaha membantu polis anti-dadah menghentikan kegiatan penyeludupan dadah di Singapura dan juga di luar negara, kata AGC.

Semalam, Timbalan perdana Menteri, Teo Chee Hean menolak permintaan untuk memansuhkan hukuman mati, yang turut dilaksanakan bagi kes culik dan memiliki senjata api, dengan mendakwa ia masih diperlukan bagi mengelak berlakunya jenayah serius.

Teo yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, memansuhkan hukuman itu memberi petunjuk yang salah kepada jenayah berpotensi. - AFP

No comments:

Post a Comment