My Add

Thursday 22 November 2012

Pas diperalat DAP, PKR

KUALA LUMPUR, RABU, 21 November, 2012: Keengganan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima cadangan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri boleh menyebabkan ahli-ahli Pas keliru tentang matlamat sebenar perjuangan parti itu.

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad (gambar) berkata, berikutan pendirian Abdul Hadi itu Pas akan dianggap hanya sebagai alat menjayakan perjuangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Buat apa berjuang kalau bukan untuk mendapatkan kuasa. Kalau Pas mendapat sokongan rakyat, mengapa pula hendak beri laluan kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

"Nampaknya Pas masih belum belajar daripada kesilapan lalu. Golongan ulama berjuang bermati-matian tetapi kejayaan dikecapi orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nakhaie mengulas kenyataan Abdul Hadi seperti dipetik menerusi portal berita Harakahdaily berhubung cadangan perwakilan Pas supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Berdasarkan transkrip sebahagian ucapan penangguhan Abdul Hadi yang disiarkan portal itu semalam, Presiden Pas berkenaan mengalu-alukan cadangan tersebut tetapi beliau memohon kepada Allah SWT mengkabulkan cita-citanya memenangkan Islam sebelum meninggal dunia.

Bagaimanapun, Nakhaie menambah, adalah terlalu awal untuk menentukan siapakah pemimpin pakatan pembangkang yang bakal menjadi Perdana Menteri kerana belum tentu mereka akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Teluk Kemang, Mohd. Hidzir Othman menyifatkan Abdul Hadi sebagai pemimpin yang kurang yakin kepada keupayaan sendiri.

Beliau memberitahu, pendirian Abdul Hadi yang menolak cadangan melantik beliau sebagai Perdana Menteri itu jelas menunjukkan Pas bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang.

"Mungkin juga Abdul Hadi berbuat demikian setelah menerima tekanan daripada sekutu-sekutunya dalam DAP dan PKR khususnya Anwar yang sudah lama mengidam untuk menjadi Perdana Menteri," ujarnya.

Kata Mohd. Hidzir, keangkuhan pemimpin-pemimpin DAP seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dan Timbalan Pengerusinya, Tan Seng Giaw menolak cadangan akar umbi Pas itu akan menimbulkan konflik dalam pakatan pembangkang.

"Namun, kita dapat melihat sendiri pemimpin-pemimpin Pas gagal mempertahankan cadangan akar umbi parti dan mereka nampaknya lebih gemar tunduk kepada arahan DAP dan PKR," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment