My Add

Sunday 4 November 2012

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pemangkin sekolah Tamil

KUALA LUMPUR, AHAD, 04 November, 2012:: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dilihat bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan sekolah Tamil di negara ini, kata Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil, Prof Dr N S Rajendran.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat dengan 11 anjakan strategik pelan itu yang antaranya menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa mampu melonjakkan kecemerlangan sekolah Tamil pada masa depan.

"Maklumbalas kita peroleh daripada orang ramai dalam usaha kita membentuk Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil menunjukkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia mendapat maklum balas positif daripada pihak berkepentingan sekolah Tamil seperti guru besar, bekas murid dan badan bukan kerajaan.


"Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil yang kita akan bentang nanti juga adalah sesuatu yang bergerak seiring, sehati dan sejiwa dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia," katanya.

Pada 11 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk mengubah sistem pendidikan negara.

Rajendran berkata, usaha mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan yang merupakan sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia itu membolehkan penyampaian pembelajaran di sekolah Tamil ditingkatkan.

"Meningkatkan keberkesanan penyampaian pembelajaran oleh guru kepada murid merupakan salah satu daripada perkara di mana pihak berkepentingan sekolah Tamil mahu lihat dalam pelan kita buat.
"Kerajaan pada masa ini berada pada landasan yang baik kerana kini sekolah Tamil mempunyai lebih 9,000 guru yang mengajar kira-kira 100,000 murid. Ini nisbah yang mencukupi bagi penyampaian pembelajaran berkesan," katanya.

Beliau yang juga pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris berkata, usaha memastikan setiap murid mashir dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris membolehkan murid sekolah Tamil memperoleh lebih banyak ilmu dalam bahasa itu.

"Ini membolehkan murid sekolah Tamil mendapat ilmu bertaraf antarabangsa. Namun selain bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, kita mohon tambahan iaitu memastikan setiap murid mahir dalam bahasa ibunda mereka," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment