My Add

Tuesday 6 November 2012

Pelan tindakan galakkan pelajar ceburi aliran sains: Muhyiddin

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 November, 2012:: Kerajaan akan memperkenalkan pelan tindakan bagi meningkatkan bilangan pelajar yang mengambil aliran sains di seluruh negara menjelang 2014.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata aliran sains sangat penting kerana negara sedang pesat membangun dan memerlukan pakar dalam bidang kejuruteraan serta teknologi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ketika ini peratusan pelajar yang mengambil aliran sains di sekolah dilihat semakin menurun dan tidak mencapai 20 peratus.

“Semalam saya sudah menerima laporan daripada jawatankuasa yang terdiri daripada pakar universiti seluruh negara bahawa bilangan pelajar yang mengambil aliran itu merosot dan sebanyak 15 cadangan diterima daripada kajian yang dibuat.

“Daripada laporan itu, kita dapati sebenarnya ramai pelajar meminati aliran sains tetapi mereka tidak diberi galakan dan dorongan, selain masalah tenaga pengajar dan kemudahan makmal yang tidak lengkap,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas, Ampang, di sini, hari ini.

Katanya, kajian sedang dibuat di mana dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran sains menurun sedangkan dasar kita adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar mengambil aliran sains, manakala 40 peratus bagi aliran sastera.

Muhyiddin berkata, beberapa langkah akan diwujudkan dengan memberi insentif kepada ibu bapa yang menggalakkan anak mereka untuk mengambil aliran sains termasuk pengecualian cukai. 

Beliau berkata, satu pakej akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti aliran ini seperti bantuan pembelian buku dan juga biasiswa kecil bagi membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain itu, katanya, kurikulum bagi aliran sains mungkin akan ditambah baik termasuk menyediakan kemudahan makmal yang mencukupi bagi menjalani latihan amali di sekolah.

“Kita juga akan menyediakan latihan kepada guru untuk meningkatkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PNP) disamping mewujudkan pembantu makmal untuk menjaga bahan yang digunakan,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment