My Add

Tuesday 27 November 2012

Pemberontak Syria tawan empangan

 *TENTERA Syria membedil perkampungan Bariqa dekat Bukit Golan di sempadan Israel-Syria pada 12 November lalu. Israel semalam mendakwa tentera Syria melepaskan tembakan dari Syria ke kawasan Bukit Golan tidak jauh dari sebuah kenderaan tentera rejim Zionis Israel yang berkawal di situ. - AP

BEIRUT, ISNIN, 26 November, 2012: Pemberontak Syria mendakwa berjaya menawan sebuah empangan di Sungai Euphrates di utara negara itu, yang merupakan kawasan strategik berdekatan wilayah Aleppo, selepas berlaku pertempuran sengit selama beberapa hari.

Rakaman video yang disiarkan di Internet menunjukkan berpuluh-puluh anggota pemberontak berjalan di satu persimpangan jalan di Empangan Tishreen pada waktu malam, kawasan antara wilayah Aleppo dan Raqa.

Video itu turut menunjukkan beberapa anggota pemberontak lagi di dalam bilik kawalan empangan itu dengan seorang lelaki menyatakan ''Empangan Tishreen di bawah kawalan Tentera Pembebasan Syria''.

Kesahihan video itu tidak dapat disahkan tetapi Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria mengesahkan empangan itu jatuh 'ke tangan' pemberontak.

''Pemberontak telah mengambil alih kawasan empangan Tishreen dan bangunan di sekitar Aleppo selepas pemberontak daripada beberapa batalion menyerbu kawasan itu semalam,'' kata badan hak asasi manusia itu yang beribu pejabat di Britain.

Di Baitulmaqdis, tembakan yang dilepaskan dari Syria mengenai kawasan Bukit Golan yang dijajah Israel tidak jauh daripada sebuah kenderaan tentera rejim Zionis Israel yang berkawal di situ.

Jurucakap tentera Israel berkata, kejadian tembakan tersebut berlaku ketika kenderaan itu meronda di pagar keselamatan Bukit Golan lewat malam tadi.

''Bagaimanapun, askar Israel di kawasan itu tidak membalas tembakan tersebut seperti yang dilakukan sebelum ini,'' katanya.

Insiden seumpama itu semakin meningkat sejak beberapa minggu ini ketika keganasan di Syria semakin buruk.

Dalam perkembangan lain, pemberontak Syria mendakwa, mereka telah menawan sebuah pangkalan helikopter di timur Damsyik selepas melakukan serangan pada malam semalam.

Pangkalan Marj al-Sultan, terletak 15 kilometer dari Dasmyik, merupakan pangkalan kedua tentera Syria yang jatuh ke tangan pemberontak sepanjang bulan ini.

Menurut aktivis, kumpulan pemberontak turut memusnahkan dua buah helikopter dan menawan 15 tentera kerajaan. - AFP

No comments:

Post a Comment