My Add

Wednesday 14 November 2012

Pemilik rumah disaran guna jeriji automatik

KUALA LUMPUR, RABU, 14 November, 2012 : Setiap pemilik rumah disaran supaya menggunakan jeriji automatik berkuasa bateri yang mudah dibuka pada tingkap dan pintu rumah supaya penghuni dapat meloloskan diri jika berlaku kebakaran.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata melalui jeriji automatik berkenaan, penghuni rumah hanya perlu menekan butang yang terdapat di dalam rumah dan jeriji tersebut akan terbuka.

"Kita menasihatkan pemilik rumah supaya memasang jeriji, namun melalui jeriji seperti itu kita bukan sahaja mudah menyelamatkan diri semasa kebakaran tetapi dapat mencegah jenayah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tragedi kebakaran sebuah rumah banglo dua tingkat yang meragut empat nyawa iaitu sepasang suami isteri, seorang anak lelaki serta seorang pembantu rumah warga Indonesia apabila kesemua mangsa lemas terhidu asap tebal di Taiping, Perak semalam.

Dalam kejadian itu Mohd Hakimi Zubair, 40, seorang Pengarah Korporat Royal Bank of Scotland Kuala Lumpur, isterinya Leiha Sahak, 40, pakar teknologi maklumat sebuah syarikat swasta di ibu negara, anak mereka Ahmad Faris, 3, dan pembantu rumah yang dikenali sebagai Rizki ketika itu berada di tingkat dua rumah berkenaan.

Wan Mohd Nor berkata JBPM juga turut menyediakan panduan kepada pemilik rumah yang ingin memasang jeriji di mana di dalam buku panduan berkenaan akan diberitahu jenis apa yang sesuai dan di mana boleh didapati.

"Syarikat yang menyediakan alat tersebut boleh dicari di laman web dan alat tersebut telah ada di pasaran lebih 10 tahun," katanya. 

Wan Mohd Nor berkata dalam aspek keselamatan, ibu bapa juga sepatutnya mengajar anak-anak mereka cara menyelamatkan diri contohnya cara menekan butang untuk membuka jeriji bila berlaku kebakaran.

Beliau juga menasihatkan penghuni rumah supaya memasang alat pengesan asap di luar bilik tidur untuk mengesan jika terdapat asap kecil di sekitarnya.

Beliau bagaimanapun tidak menggalakkan jeriji yang menggunakan kunci walaupun kunci berkenaan diletakkan di kawasan berhampiran tingkap atau pintu.

"Kebanyakan orang bila sudah panik terhidu asap, pemikiran tak begitu normal untuk berfikir, ia juga menyukarkan kanak-kanak untuk menyelamatkan diri.

"Mungkin ada juga yang tidak jumpa lubang kunci atau tidak biasa dengan rumah itu dan semua perkara berkenaan membuang masa kerana semasa kebakaran masa adalah sangat penting," katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Jurutera Kebakaran United Kingdom (UK) Cawangan Malaysia, Ar Chee Soo Teng menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) harus menitik beratkan pemasangan jeriji, jika ingin meluluskan sesuatu permohonan pengubahsuaian rumah atau untuk rumah baru.

"PBT harus menetapkan syarat kepada pihak kontraktor atau pemaju yang bertanggungjawab mengubah suai dan membina rumah supaya memasang jeriji atau alat keselamatan kebakaran yang berkesan bila berlaku kebakaran," katanya.

Ini bagi memudahkan penyelarasan sistem keselamatan kebakaran agar tragedi di Taiping tidak berulang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment